Saturday, November 6, 2010

Awasi ancaman Wolves dulu!

Darren Fletcher mengakui pemain Manchester United sudah memikirkan perlawanan menentang Manchester City Rabu depan tetapi memberi amaran kepada mereka supaya tidak melupakan ancaman Wolverhampton Wanderers.

Anak buah Alex Ferguson akan melayan Wolves di Old Trafford hari ini sebelum aksi sengit menentang City yang pasti akan bangkit selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut - dua liga perdana dan satu aksi Liga Europa.

Fletcher mendedahkan aksi bertemu City sudah berada di minda pemain United meskipun mereka mempunyai satu lagi tugas penting menentang Wolves. Bagaimanapun bintang antarabangsa Scotland itu menegaskan penting buat pasukan supaya membawa bekal kemenangan sebelum menentang City.

United akan turun dalam saingan minggu ini di kedudukan ketiga Liga Perdana Inggeris, tercicir lima mata daripada pendahulu Chelsea. Kejayaan ke atas Wolves bakal menyuntik semangat mereka kerana mereka membawa bekal enam kemenangan berturut-turut dalam semua saingan.

“Apa yang jelas kami semua sedar mengenai perlawanan menentang City pada pertengahan minggu dan semua pemain memikirkannya. Tetapi mereka tidak boleh terlalu menumpukan kepada perlawanan itu.

“Perlawanan menentang Wolves juga suatu yang sengit, kerana ia perlu dihadapi terlebih dulu. Dan tiga mata yang diraih pasti bagus sebelum menghadapi perlawanan berikutnya (pertengahan minggu),” katanya.

Pada Rabu lalu, Ferguson menyaksikan anak buahnya sudah selangkah daripada saingan kelompok 15 terakhir Liga Juara-Juara apabila menang bergaya, 3-0 ke atas pasukan Turki, Bursaspor.

Bagaimanapun, kemenangan itu diraih dengan harga mahal kerana Fletcher dan Nani yang berada di puncak prestasi, masing-masing mengalami kecederaan buku lali dan bawah perut. Kedua-dua pemain ini mungkin tidak beraksi menentang Wolves.


Sumber: Berita Harian

Jangan gentar

"APA yang anda mahu daripada skuad se­­perti ini?," soal ju­­rulatih K Rajagobal pula ketika ditanya mengenai peluang skuad bimbingan­­nya.

“Saya kehilangan 10 tong­­gak dan terpaksa menyenaraikan sebahagian besar pemain muda, selain bakal berdepan lawan gergasi (China dan Jepun) serta lawan misteri (Kyrgyzstan) dalam peringkat kumpulan.

“Saya bukan mencari alasan tetapi anda pernah saksikan kekuatan beberapa pasukan ternama seperti England, Itali dan kelab terkenal seperti Manchester United yang terjejas dan gagal menyinar apabila pemain utama mereka cedera.

“Pasukan ternama pun boleh lumpuh akibat kecederaan pemain utama, apalagi dengan skuad negara,” katanya.

Pincang tanpa 10 tonggak akibat kecederaan, Rajagobal terpaksa bergantung harap dengan pemain muda dan ini membuatkan dia berpijak di bumi nyata apabila memperkatakan potensi skuad kendaliannya di Sukan Asia Guangzhou.

Selain kehilangan ketua pasukan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, Rajagobal yang tiba bersama skuad kendaliannya di Lapangan Terbang Baiyun di Guangzhou semalam, turut kehilangan Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Mohd Farizal Marlias, Baddrol Bakhtiar, Mat Sabre Abu, Zaquan Adha Abd Radzak dan Azmi Muslim, semuanya kerana kecede­­raan.
“Mereka adalah nadi pasu­­kan, tanpa mereka kekuatan kita terjejas,” katanya yang turut terpaksa menyenaraikan enam pemain muda skuad Bawah 21 di Slovakia bagi menampung kehilangan tonggak terbabit.

“Saya cuma mengharap­­kan pemain mempamerkan aksi terbaik dan semangat melawan tinggi. Mereka tidak perlu takut tewas kerana tidak kehilangan apa-apa,” katanya yang terpaksa melupakan sambutan Deepavali bersama keluarga dan sahabat handai demi tugasan negara.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A dan memulakan kempen menentang Kyrgyzstan, Isnin ini sebelum Jepun (Rabu) dan melengkapkan jadual dengan menentang tuan rumah, China, Sabtu depan.


Sumber: Berita Harian

Nancy Ajram batal konsert di Abu Dhabi

 Nancy Ajram
Nancy Ajram

Penyanyi Arab popular, Nancy Ajram dilaporkan membatalkan persembahan konsertnya sempena acara Formula 1 di Abu Dhabi yang dijadualkan minggu depan, selepas media Arab menyiarkan dakwaan artis itu sedang hamil.

Penarikan diri beliau daripada persembahan terbabit mengecewakan ramai peminatnya di Emiriah Arab Bersatu itu walaupun pihak penganjur dilaporkan menggantikan tempatnya dengan penyanyi Haifa Wehbe.

Penganjur, Flash Entertainment dalam satu kenyataan media berkata Nancy tidak akan membuat persembahan ‘Beats on the Beach’ yang berlangsung 12 November ini sempena Formula 1.

“Nancy amat gembira untuk membuat persembahan di hadapan ribuan peminat di Abu Dhabi, tetapi disebabkan masalah peribadi yang tidak dapat dielakkan, beliau tidak mempunyai pilihan kecuali membatalkan persembahan yang dijadualkan sehingga 15 November,” kata kenyataan terbabit.

Flash berkata acara berkenaan bagaimanapun akan tetap diteruskan dengan penyanyi Haifa Wehbe.

Media Arab sebelum ini melaporkan Nancy sedang hamil anak keduanya. Satu notis melalui laman web penyanyi itu menunjukkan beliau akan membuat satu persembahan pada 20 November ini di Belanda.

Nancy yang berasal dari Lubnan menghabiskan masanya di Dubai tahun ini di mana albumnya terjual 30 juta unit di negara berkenaan.

Penyanyi itu dilaporkan menerima bayaran termahal iaitu kira-kira AS$80,000 (RM240,000) sejam ketika membuat persembahan di Mesir.


Sumber: Berita Harian

PAS Kedah perlu sumbangan bantu mangsa banjir

PAS Negeri Kedah telah membuka Bilik Gerakan Banjir di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut dalam usaha memberikan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini.

Penolong Setiausaha PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad berkata, bilik gerakan tersebut akan beroperasi 24 jam dan akan mengkoordinasikan bantuan sewajarnya kepada mangsa-mangsa banjir.

PAS Kedah juga, katanya, telah menyusun tenaga sukarelawannya terdiri daripada Pemuda, Muslimat, Unit Amal dan Nisa’ untuk menjayakan bantuan tersebut.

Tambahnya, pada ketika ini pihak PAS Kedah amat memerlukan sumbangan orang ramai berupa air mineral, tuala wanita, lampin bayi dan biskut.

Sehubungan itu, beliau menyeru mereka yang prihatin untuk membantu usaha tersebut melalui sumbangan terus ke bilik gerakan banjir.

Katanya lagi, para dermawan yang berhasrat untuk turut serta menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir juga boleh terus berhubung dengan PAS Kedah agar kenderaan dan lokasi penyerahan sumbangan dapat ditentukan.

Sumbangan wang tunai juga boleh dihulurkan melalui akaun Maybank 552170001133 atas nama Majlis Tindakan Bencana Alam BPPNK.

Sebarang pertanyaan boleh menghubunginya di talian 012-4827563 atau Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahya di talian 019-4704740 dan 04-7481120.


Sumber: Harakah

Bala akui tandatangan akuan bersumpah palsu

Bekas penyiasat persendirian P Balasubramaniam menyelar kerajaan kerana menutup kes berhubung dua akuan bersumpah yang dibuatnya sebelum ini.

Dalam surat terbukanya kepada Peguam Negara Abdul Gani Patail yang salinannya dihantar kepada Malaysiakini, Balasubramaniam berkata, beliau "terkejut" walaupun mengakui menandatangan akuan bersumpah (SD) yang palsu, polis masih tidak menjumpai sebarang bukti perlakuan salah.

"Pihak polis, saya percaya, menyiasat keadaan seputar pembikinan dua SD bawah Seksyen 199 Kanun Acara Jenayah, untuk kesalahan yang boleh dikenakan hukuman tiga tahun penjara atau denda.

"Ini bukan kesalahan remeh."

Sehubungan itu, katanya, beliau amat terkejut apabila pihak polis gagal menemui sebarang salah laku daripada bukti-bukti yang dikumpulkan mereka.

Mengakui akuan dalam SD keduanya tidak benar, Balasubramaniam mendesak kerajaan membuka kembali kesnya.


Sumber: MalaysiaKini

Dr Asri: 'Dinosour' PKR enggan terima hakikat

Selepas saranan beliau supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara 'politik' mengundang kritikan sebilangan pemimpin kanan PKR, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini membidas sikap tidak berlapang dada pemimpin pembangkang.

Dr Mohd Asri berkata kenyataan beliau Isnin lalu itu menyebabkan terdapat pemimpin PKR yang "melenting, buruk sangka dan membuat anggapan yang bukan-bukan".

"Apabila saya menyatakan banyak dinosaur politik dalam BN dan Pakatan Rakyat yang perlu memberi ruang kepada orang lain, dan saya sebut nama YB DSAI (Anwar) sebagai contoh, seperti biasa mereka melenting, buruk sangka dan membuat anggapan yang bukan-bukan.

"Saya kata bahawa, jika tidak berlaku perubahan; momentum politik yang berkesan akan habis dan politik berkualiti akan sukar dicapai," katanya.

"Sebagai rakyat bawahan yang melihat permainan politik dalam negara ini, dengan sikap 'buta warna parti', saya dapat rasakan sejauh manakah pertarungan itu di sudut ketangkasan dan 'manfaat yang dapat dirasai oleh rakyat'.

"Momentum sesebuah aliran politik bukan selamanya. Rakyat bukan sahaja akan terikat dengan 'kenangan semalam', sebaliknya mereka juga terikat dengan 'realiti hari ini' dan 'impian masa depan'," tulisannya dalam blognya pagi ini.

Dr Mohd Asri turut meminta pemimpin Pakatan yang tidak bersetuju dengannya merujuk kepada sebuah analisis berita yang mendakwa gabungan PAS, DAP dan PKR mula hilang momentum selepas kekalahan di DUN Galas dan Batu Sapi kelmarin.

Tokoh agama itu mengingatkan, momentum sesebuah aliran politik tidak akan kekal selamanya kerana rakyat bukan sahaja akan terikat dengan 'kenangan semalam'.

Sebaliknya, tambah Dr Asri, mereka juga terikat dengan 'realiti hari ini' dan 'impian masa depan'.

"Sebab itu, jangan hairan jika 'momentum Barack Obama' boleh surut dalam hanya masa dua tahun apabila dilihat gagal merealisasikan impian rakyat seperti yang dijanjikan," katanya sambil membandingkan dengan kepimpinan presiden Amerika Syarikat itu.

Sehubungan itu, kata Dr Mohd Asri, jika perkara tersebut berterusan, Pakatan Rakyat akan hilang momentumnya disebabkan pelbagai perkara.

"Salah satunya ubat bagi saya; keperluan 'mentajdidkan' (memperbaharui) pemain utama. Jika tidak, mungkin negara kita hilang keseimbangan politik antara pemerintah dan pembangkang!" tegasnya.

"Jika hendak jadi penguasa, kena belajar berlapang dada dengan rakyat jelata. Bukan semua yang berbeza itu menzalimi anda!"


Sumber: MalaysiaKini

Lagi pertahan Anwar, kritik bekas mufti

PKR menyifatkan pandangan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menyeru agar Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara 'politik' adalah "manifestasi suara ketakutan pimpinan negara terhadap fenomena kebangkitan rakyat".

Malah Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) PKR, Dr Muhammad Nur Manuty mempertahankan ketuanya dengan berkata serangan peribadi pelbagai bentuk kepada Anwar "bukanlah sesuatu yang memeranjatkan".

"Keberkesanan kepemimpinan seseorang itu tidak boleh diukur dari segi usia semata-mata.

"Hakikatnya kepemimpinan itu hendaklah dilihat dari segi karisma, amanah, keberanian, kegigihan dalam perjuangan menegakkan keadilan, kebenaran dan kesejahteraan rakyat, mengenepikan kepentingan peribadi dan keluarga, kesediaan berkorban, memiliki kebijaksanaan (hikmah) dan ketahanan fizikal.

"Inilah antara sifat yang dimiliki dan dihayati oleh DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai pemimpin yang diiktiraf dan dihormati oleh kawan dan lawan dalam dan luar negara," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Muhammad Nur mengulas kenyataan Dr Mohd Asri yang berkata sudah sampai masanya untuk ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara 'politik' kerana banyak rentak tari politiknya makin 'tidak seimbang'.

Menulis dalam blognya Isnin lalu, di bawah tajuk 'Politik kita memerlukan anjakan baru', Dr Mohd Asri menegaskan "politik kita memerlukan watak-watak baru yang bernas, matang dan tangkas".

Kritikan pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) itu juga turut ditolak oleh ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin yang menyifatkannya sebagao satu "kenyataan yang pelik dan tidak berpijak pada realiti politik" semasa tanah air.

Sementara itu, menjawab kritikan balas selepas saranan kerasnya itu, Dr Mohd Asri menegaskan cadangannya adalah "hak rakyat" kepada pemimpin.

Menurutnya, tegurannya itu bukan satu perkara baru kerana sebelum ini beliau pernah mencadangkan perkara sama kepada mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi melalui sebuah pantun.

"Freedom of expression (kebebasan bersuara) yang dilaungkan oleh sesetengah pihak tidak memberi makna jika hanya mereka setuju suara mereka dan menghalang suara orang lain," coretnya dalam blog sambil menafikannya sebagai satu pandangan agama.



Sumber: MalaysiaKini

Tiga Pesawat TUDM Ke Solo Bawa Pulang Rakyat Malaysia

Tiga buah pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka berlepas Ahad pagi bagi membawa keluar 664 rakyat Malaysia yang terkandas di Yogyakarta, Solo berikutan kejadian letusan Gunung Merapi.

Pegawai Perhubungan Awam TUDM Mejar Kamarulzaman Ali berkata pesawat pertama dijangka berlepas pada 10 pagi dari Pangkalan TUDM Subang dan mendarat di Lapangan Terbang Solo selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa negara itu.

"Hasil perbincangan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pertahanan, Wisma Putra dan Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak berkuasa negara itu, kita telah mendapat persetujuan bagi membawa keluar kesemua rakyat kita dalam misi dua hari itu.

"Setiap hari, kita akan adakan tiga penerbangan dengan setiap penerbangan pergi dan balik mengambil masa selama enam jam," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Menurutnya kesemua 664 rakyat Malaysia itu terdiri daripada penuntut universiti dan kakitangan yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia dan penerbangan pulang pertama dijangka tiba Ahad petang.

Masalah pendaratan kerana cuaca dan kabus tebal tidak menentu di Lapangan Terbang Solo menyebabkan kesukaran membawa keluar orang awam dari kawasan berdekatan Gunung Merapi iaitu gunung berapi paling aktif di dunia itu.


Sumber: Bernama

Aidiladha Disambut Pada Rabu, 17 Nov

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Korban atau Aidiladha pada hari Rabu, 17 Nov ini bersamaan 10 Zulhijjah 1431 Hijrah.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah mengumumkan tarikh itu hari ini bagi menyempurnakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, setelah diperkenankan oleh Raja-Raja Melayu.

"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini diisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1431 Hijrah ialah pada 17 Nov 2010 Masehi.

"Oleh yang demikian, Hari Raya Korban (10 Zulhijjah) bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Rabu, 17 Nov 2010 Masihi," katanya.

Pengumuman itu dibuat menerusi siaran radio dan televisyen.


Sumber: Bernama

Suasana Kiamat Di Universiti Gadjah Mada Selepas Hujan Abu Dan Kerikil Di Yogyakarta

Suasana sepi yang serba putih tanpa sebarang pergerakan seperti dunia telah kiamat, itu adalah gambaran di Fakulti Perubatan Universiti Gadjah Mada (UGM) Yogyakarta, 26 km dari Gunung Merapi daripada pandangan seorang penuntut Malaysia.

Letusan Gunung Merapi yang paling dahsyat pada pukul 12.46 pagi hari Jumaat mengakibatkan ratusan penduduk di sekitar gunung berapi paling aktif di dunia itu terkorban akibat terkena awan panas manakala ramai lagi yang cedera.

Semburan awan panas "wedhus gembel" setinggi 8,000 meter itu telah menerbangkan hujan abu volkanik dan hujan kerikil ke kota Yogyakarta, ibu kota lama Indonesia.

"Keadaannya amat menyeramkam sekali, kereta yang diselimuti abu putih kelihatan seperti tidak pernah dicuci selama beberapa tahun.

"Terasa seperti saya dan sahabat saya sahaja yang terselamat daripada kiamat pada masa itu apabila kami berjalan di kawasan fakulti itu pukul 6.45 pagi menuju kelas pada Jumaat," kata Srijesh Sobha Kumar, 20.

Penuntut tahun pertama dari Kepong, Selangor itu berkata apabila menerima SMS bahawa semua penuntut Malaysia di universiti itu akan dipindah dan dihantar pulang ke Malaysia, beliau menjadi cemas kerana bimbang akan ketinggalan daripada kumpulan itu.

Bantuan seorang pelajar senior membawanya pulang ke asrama dengan motosikal pada masa itu benar-benar melegakan hati, apalagi apabila mendapat tahu semua penuntut lain sudah bersedia untuk dipindahkan.

Itulah pengalaman yang tak akan dilupakan Srijesh, yang sejak awal tahun ini telah mengalami beberapa peristiwa baru yang mengejutkan dalam kehidupannya iaitu gempa bumi, ribut taufan dan demonstrasi anti-Malaysia di kota Yogyakarta.

Srijesh yang menceritakan pengalaman itu di sini Sabtu berkata hujan abu dan kerikil yang turun di Yogyakarta pada Khamis malam itu juga menjadikan beliau berasa takut keadaan lebih buruk akan berlaku di Yogyakarta.

"Tengah malam itu masa kami hendak memotong kek Deepavali, kami terdengar bunyi guruh yang kuat di langit, bunyi itu berulang-ulang tanpa henti dan tak lama lepas itu kami dengar bunyi batu-batu kecil menimpa bumbung di atas tingkap asrama.

"Orang tempatan kata jika Merapi sudah menurunkan hujan kerikil, ia akan diikuti dengan gempa bumi, inilah yang paling menakutkan saya," katanya.

Srijesh, yang menunggu untuk pulang Malaysia dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pagi esok bersyukur kerana Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk membawa pulang penuntut Malaysia di sini.

Seorang lagi pelajar Nur Taufiqah Idris, 22, dari Greenwood, Gombak, Selangor berkata beliau bersyukur mereka akhirnya akan dibawa pulang ke Malaysia setelah beberapa kali menunggu saat ini.

"Kami telah bersedia dengan beg pakaian sejak Merapi meletus kali pertama pada 26 Okt lepas dan apabila hujan abu volkanik turun pada hari Sabtu lepas, saya sudah ketakutan," katanya.

Sementara itu Ketua Multimedia, Penerbitan dan Komunikasi Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia cawangan Yogyakarta William Chin Jian Wei, 22, berkata persatuan itu telah bersiap sedia dengan sistem komunikasi yang telah teruji dalam usaha menyebarkan maklumat penting kepada penuntut Malaysia.

Penuntut tahun empat fakulti perubatan UGM itu berkata sistem komunikasi melalui penghantaran SMS itu dapat menyampaikan pesanan penting dan nasihat agar penuntut bersedia untuk dipindahkan.

Presiden Kelab Umno Luar Negara cawangan Yogyakarta Mohd Hafiezulniezam Mohd Hasdin, 25, berkata sejumlah 386 penuntut Malaysia akan dihantar pulang ke Malaysia Ahad pagi.

Difahamkan penuntut-penuntut itu akan diterbangkan pulang dengan pesawat C130 TUDM.

Chin berkata 21 pelajar kedoktoran UGM memilih untuk tidak pulang ke Malaysia sebaliknya akan tinggal di Solo sehingga keadaan selamat kerana mereka terikat dengan tugasan klinikal.


Sumber: Bernama

Kerajaan perlu berterus terang kesihatan PM

Kerajaan sepatutnya berterus-terang dengan keadaan kesihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa.

"Semalam, (Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri) Dr Mohd Ismail Merican berkata Perdana Menterii mungkin boleh keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

"Walaupun kita tidak menolak kemungkinan yang dijangkakan oleh beliau, tetapi sebelum ini juga Perdana Menteri dilaporkan pulih agak cepat setelah dilaporkan semakin pulih selepas diberi minum air kelapa dan tempat tidurnya dialas dengan daun bambu.

"Tetapi selepas itu, tiba-tiba dilaporkan Perdana Menteri masuk hospital pula," katanya.

Sebab itulah, kata Husam, kerajaan perlu menyatakan perkara sebenarnya untuk mengelakkan tersebarnya khabar-khabar angin yang tidak sepatutnya.

"Adalah tidak wajar jika rakyat sekali lagi melihat khabar angin akhirnya menjadi cerita benar malah khabar angin juga akan memburukkan pasaran saham," katanya.

Sejak hari pertama Najib dilaporkan tidak sihat, khabar angin telah pun tersebar luas walaupun beliau didakwa menunjukkan respons yang baik kepada rawatan yang diberikan, kata Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu lagi.

Hubungan kerajaan Kelantan dengan kerajaan Pusat yang dipimpin Najib menjadi semakin tegang tahun ini berikutan tindakan Pusat menyekat royalti minyak kepada kerajaan negeri itu.

Sehingga hari ini pun, pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan Kelantan termasuk solat hajat dan munajat agar hak negeri itu untuk mendapatkan royalti tidak disekat oleh kerajaan Pusat.

Husam bagaimanapun menolak untuk mengulas perkara itu sebagai ‘menghormati Perdana Menteri yang sedang sakit’.

Isnin lalu, Najib dilaporkan mempunyai penyakit cacar dan telah dinasihatkan oleh doktor peribadinya supaya berehat di rumah.

Presiden Umno itu dilaporkan mula merasa kurang sihat dan kemudian didapati ada ruam panas, sakit otot dan sendi pada hari terakhir Sidang Kemuncak Asean ke-17 dan berkaitan di Hanoi, Vietnam selama tiga hari.


Sumber: Harakah

Dicekup 15 minit lepas samun

RAMPAS...antara barangan yang dirampas daripada perompak, semalam.
RAMPAS...antara barangan yang dirampas daripada perompak, semalam.


Tiga lelaki ditahan dalam tempoh 15 minit sejurus selepas menyamun sebuah kedai runcit, di Selayang Baru, di sini pagi kelmarin.

Ketiga-tiga suspek berusia 18 hingga 26 tahun terbabit menyamun kedai berkenaan selepas berpura-pura menyamar sebagai pelanggan.

Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, seorang daripada suspek masuk ke kedai itu sebelum berpura-pura bertanya sama ada kedai berkenaan menjual minuman keras.

“Bagaimanapun, pemilik kedai memberitahu premisnya tidak menjual minuman keras menyebabkan suspek naik angin dan memarahi mangsa.

“Suspek yang tidak berpuas hati keluar dari kedai berkenaan sebelum datang semula beberapa minit kemudian membawa sebilah parang. Suspek sekali lagi bertanya soalan sama kepada mangsa,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan mangsa masih terpinga-pinga, dua lagi rakan suspek menyerbu masuk sebelum mengacukan parang ke arah mangsa.

“Suspek menyelongkar barangan di dalam premis itu sebelum mengambil rokok, wang jualan dan beberapa barang lain. Kumpulan penjenayah itu kemudian melarikan diri.

“Mangsa yang tidak dicederakan segera menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu sebelum polis menjalankan gerakan memburu suspek,” katanya.

Menurutnya, hasil tindakan pantas polis, ketiga-tiga suspek diberkas kurang 15 minit kemudian di kawasan berhampiran kedai berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan penahanan ketiga-tiga lelaki terbabit. “Semua suspek ditahan jam 11.45 pagi pada hari sama kejadian. Hasil pemeriksaan menemui sebilah parang, dua cota warna hitam, enam pucuk pistol mainan plastik, sebilah pisau lipat, tujuh telefon bimbit, dan pelbagai barangan runcit hasil samun kedai berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman sehingga Isnin ini dan setakat ini pihaknya masih menyiasat sama ada mereka terbabit dalam kes rompakan lain atau tidak.


Sumber: Metro

SPRM Belanja Lebih Kerana Struktur Semula BPR

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menarik perhatian berhubung dengan berita yang disiarkan di Akhbar Harakah bertarikh 1 November 2010 (Isnin) bertajuk ”Mengapa SPRM belanja lebih dari peruntukan?”.

SPRM ingin mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan terhadap perjalanan operasi SPRM terutama mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2009.

Bagaimanapun, SPRM ingin menjelaskan bahawa lebihan perbelanjaan menurut Laporan Audit 2009 berkenaan adalah disebabkan penubuhan SPRM yang berkuatkuasa 1 Januari 2009 menggantikan Badan Pencegah Rasuah. Perbelanjaan lebihan ini telahpun diluluskan melalui Waran Am Bilangan 3 Tahun 2009 bertarikh 26 Mei 2010 yang mendapat kelulusan Parlimen.

Penstrukturan ini telah mengakibatkan pewujudan Jadual Gaji Matriks baru bagi skim SPRM untuk semua gred jawatan dengan melibatkan seramai 1,256 orang pegawai SPRM daripada skim Keselamatan Rasuah (KR) kepada Skim Pencegahan (P) sebagaimana mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bil 25 Tahun 2008.

Pelaksanaan kenaikan pangkat Pegawai Kumpulan Sokongan yang telah berkhidmat lebih 15 tahun dalam perkhidmatan juga memberi kesan pada pertambahan perbelanjaan.

Selain itu, pertambahan perbelanjaan ini adalah disebabkan perubahan bayaran Insentif Pencegahan Rasuah dan perubahan skim gaji baru menjadikan keseluruhan lebihan perbelanjaan sebanyak RM6,831,600.00 juta pada tahun tersebut.

Sebenarnya, lebihan perbelanjaan ini sama sekali tidak membawa maksud SPRM melanggar mana-mana arahan perbendaharaan ataupun melanggar mana-mana prosedur pengurusan kewangan sebaliknya ia hanyalah melibatkan pembayaran emolumen akibat penstrukturan semula SPRM yang berkuatkuasa 1.1.2009.

SPRM masih tetap menguatkuasakan soal integriti, kebebasan, ketelusan dan profesionalisme serta sentiasa memerangi jenayah rasuah tanpa kompromi.


Sumber: Harakah

Banjir: Shahrizat Jangan Bermain Politik

Tatkala lebih 40,000 mangsa banjir perlu meninggalkan tempat tinggal mereka akibat krisis banjir yang paling teruk dalam sejarah negeri Kedah, ada juga pemimpin daripada Barisan Nasional yang cuba mengambil kesempatan untuk bermain politik.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyatakan rasa kesal terhadap sikap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang cuba mempolitikkan krisis banjir di Kedah dengan menyalahkan kerajaan PAS Kedah lembap dalam membantu mangsa banjir.

“Saya kesal dengan kenyataan Datuk Shahrizat, yang blame (mempersalahkan) kerajaan negeri (Kedah) tidak membuat apa-apa dan kerajaan negeri lembap – itu satu kenyataan yang sangat melampau,” ujar Mahfuz ketika dihubungi Harakahdaily.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS berkata dalam keadaan semua agensi kerajaan negeri dan semua pihak tengah bersusah-payah dan bertungkus lumus untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Kedah, kenyataan Shahrizat memperlihatkan kehadiran Ketua Wanita Umno itu bukan untuk membantu tapi untuk berpolitik.

Shahrizat, kelmarin dipetik menyalahkan kerajaan negeri Kedah tidak menyediakan pengangkutan untuk membantu untuk menghantar makanan kepada penduduk di kawasan yang terputus hubungan akibat banjir terutama di Padang Terap.

“Saya nak sebut bahawa beliau tak boleh blame (salahkan) kerajaan negeri, kerajaan negeri bukan memiliki kenderaan-kenderaan berat dan kenderaan yang sangat terhad yang nak digunakan untuk pengangkutan-pengangkutan yang lain.

“Jadi, sepatutnya beliau sebagai menteri boleh coordinate dengan jabatan kebajikan di bawahnya dengan tentera dan sebagainya untuk mendapat kenderaan-kenderaan berat, kenderaan pacu empat roda, trak dan sebagainya untuk mengharungi kawasan masuk air, dan juga mendapatkan bot-bot besar,” jawab Mahfuz terhadap kenyataan Shahrizat.

Mahfuz juga membandingkan sikap kesudian membantu Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan Shahrizat apabila beliau memintanya untuk mendapatkan bantuan bot besar di kawasan parlimennya, Pokok Sena untuk mencapai kawasan penempatan banjir terputus.

“Kalau di kawasan saya, Datuk Seri Nazri datang, saya sebut masalah di sini ialah satu tempat kita tak dapat pergi kerana putus, kita tak boleh hantar bekalan makanan walaupun mereka ada penempatan banjir sebab arus air deras, dan bot-bot yang mereka hantar pula bot yang kecil, bomba sendiri pun tak berani pergi dengan bot yang kecil.

“Jadi, saya mintalah bot yang besar, bot tentera dan bot smart barulah beliau membantu mengarahkan perkhidmatan keselamatan negeri ini untuk menghantar bot smart,” katanya.

Situasi penempatan banjir

Mengenai situasi di pusat penempatan banjir, Mahfuz menyifatkan keadaannya sesak dan kurang selesa kerana terpaksa meletakkan hampir dua ke tiga ribu orang di sesebuah pusat penempatan banjir, dan ada pusat penempatan banjir yang terputus bekalan air dan juga elektrik.

“Cuma saya lihat koordinasi masalah penempatan ini – ini juga kelemahan jabatan kebajikan di bawah Shahrizat ini sebab satu-satu tempat pemindahan itu, kalau ia nak digazet ia perlu kebenaran daripada jabatan kebajikan.

“Jadi inilah masalahnya, kadang-kadang kreativiti dan inovasi jabatan kebajikan itu agak perlahan – dia hanya lihat tempat-tempat yang biasa – yang akhirnya kita terpaksa melambakkan 2,000 dan 3,000 orang di satu tempat,” ujarnya sambil menambah mangsa banjir semakin meningkat dengan air mula memasuki kawasan bandar Alor Setar dengan keadaan di kampung yang masih ditenggelami air.


Sumber: Harakah

Kesilapan Reka Bentuk Enjin


SEBUAH pesawat Airbus A380 milik Qantas Airlines dibawa masuk ke sebuah hangar untuk diperiksa di sebuah lapangan terbang di Sydney kelmarin.


Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat penerbangan Qantas Airways dari Australia, Alan Joyce semalam menyatakan, bahagian yang rosak atau kesilapan reka bentuk dipercayai menyebabkan letupan pada sebuah daripada empat buah enjin pesawat Airbus A380 miliknya sehingga memaksa juruterbang melakukan pendaratan cemas di Singapura kelmarin.

Letupan pada enjin itu menyebabkan sejumlah serpihan logam bertaburan di Pulau Batam, Indonesia dekat Singapura.

Enjin pesawat itu meletup selepas ia baru berlepas dari lapangan terbang tersebut untuk menuju ke Sydney.
Pesawat itu kemudian berlegar-legar di udara dan membuang minyak sebelum mendarat cemas di lapangan terbang sama.

Ia merupakan insiden paling serius melibatkan pesawat penumpang terbesar di dunia itu sejak ia beroperasi pada 2007.

Kejadian tersebut turut memaksa Qantas membekukan sementara perkhidmatan semua pesawat Airbus A380 miliknya manakala penerbangan-penerbangan lain memeriksa semula enjin pesawat itu.
“Kami percaya insiden berpunca daripada kegagalan bahan atau kesilapan reka bentuk,” katanya dalam satu sidang media di sini.

Syarikat Qantas membekukan perkhidmatan semua enam pesawat A380 untuk pemeriksaan keselamatan yang melibatkan masa sehingga 48 jam.

“Jika pemeriksaan itu berjalan lancar, pesawat berkenaan akan kembali beroperasi seperti biasa,” kata Joyce.
Sementara itu, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia semalam menyatakan, tiada tanda-tanda insiden pesawat A380 tersebut disebabkan oleh perbuatan khianat.

Pesawat Qantas A380 itu yang membawa 459 orang termasuk 26 krew mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura pada pukul 11.46 pagi waktu tempatan selepas satu enjinnya meletup di udara.

Lubang (dalam bulatan) pada sayap pesawat Airbus A380 milik Qantas Airways yang mendarat cemas di Singapura kelmarin.


Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Ekoran kejadian itu, syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa menyatakan, ia tidak menggunakan perkhidmatan sebuah pesawat A380 bagi laluan dari Frankfurt ke Johannesburg kerana tidak mempunyai masa mencukupi untuk melakukan pemeriksaan enjin.

Pembuat enjin pesawat Airbus itu, Roll-Royce telah mengeluarkan kenyataan meminta pemilik A380 melakukan pemeriksaan enjin.

Namun, syarikat penerbangan Singapore Airlines mengesahkan semua 11 pesawat A380 miliknya adalah selamat untuk digunakan.


Sumber: Kosmo

Tak Pernah-Pernah

 TENGGELAM...laluan di Kilometer 4 dan 5 Jalan Langgar, Alor Setar 
yang tidak pernah ditenggelami air dinaiki air sehingga 0.5 meter, 
semalam.
TENGGELAM...laluan di Kilometer 4 dan 5 Jalan Langgar, Alor Setar yang tidak pernah ditenggelami air dinaiki air sehingga 0.5 meter, semalam.


“Tidak pernah sepanjang hidup selama 67 tahun kawasan kami dinaiki air termasuk ketika Kedah dilanda banjir besar pada 1999 dan 2005, tetapi (banjir) kali ini, kami turut terjejas.” Itu luahan penduduk Hutan Kampung, dekat sini, Mokhtar Ahmad, 67, yang terkejut apabila kawasan tempat tinggalnya dinaiki air sehingga sedalam dua meter semalam.

Menurutnya, ketika keluar dari rumahnya ke pusat bandar raya untuk membeli keperluan rumah kira-kira jam 7 malam semalam, keadaan jalan dari Hutan Kampung ke Alor Setar masih seperti biasa sedangkan daerah Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Langgar teruk dilanda banjir selain beberapa kawasan bersebelahan Sungai Kedah di Alor Setar.

“Bagaimanapun, air meningkat mendadak di Hutan Kampung dan Jalan Langgar sejak awal pagi tadi (semalam) menyebabkan sebahagian besar jalan utama di Hutan Kampung ditenggelami air.

“Keadaan air juga dilaporkan agak tinggi di Kepala Batas berpunca dari banjir yang sudah surut di Bukit Pinang mengalir ke Hutan Kampung dan Kepala Batas,” katanya.

Peniaga, Tolha Ahmad, 49, pula bimbang barangan persediaan perkahwinan anaknya dua minggu lagi musnah apabila rumahnya di Taman Mawar, Hutan Kampung dilanda banjir.

“Saya hanya mendapat tahu rumah kami dimasuki air pagi ini (semalam) apabila dihubungi jiran ketika saya berada di rumah seorang lagi anak di Kuala Kedah sejak dua hari lalu,” katanya.

Menurutnya, dia bergegas pulang bersama dua anaknya untuk menyelamatkan barangan dalam rumah termasuk peralatan perkahwinan anak ketiganya yang akan berlangsung dua minggu lagi.


Sumber: Metro

Nenek Marah Lambat Solat

Perbezaan agama tidak menjadi halangan buat satu keluarga besar Islam untuk menyempurnakan mayat mendiang nenek mereka yang beragama Buddha di tanah perkuburan Cina Johor Jaya di sini, semalam.

Atas nama kasih sayang dan pertalian kekeluargaan yang kukuh, pengebumian Liang Ho, 95, yang meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Jalan Landak Batu, Century Garden di sini, kira-kira jam 3.30 petang kelmarin, diuruskan 16 cucu dan 50 cicitnya yang beragama Islam.

Upacara pengebumian mengikut adat agama Buddha itu turut disaksikan satu-satunya anak perempuan Liang yang masih hidup dan beragama itu, Low Ah Oi, 62. Tiga anak Liang yang lain sudah meninggal dunia, masing-masing seorang perempuan dan dua lelaki memeluk Islam selepas berkahwin dengan pasangan masing-masing berketurunan Melayu manakala suaminya, Low Song meninggal dunia pada 1974.

Menurut cucu sulung mendiang, Hamidah Ahmad, 49, pemergian Liang amat dirasai berikutan hubungan kekeluargaan yang sangat rapat dengan nenek disebabkan sikapnya yang sangat mengambil berat hal keluarga.

“Ketika kecil saya dijaga nenek. Walaupun beragama Islam dan dia Buddha, itu tidak menjadi halangan untuk mencurahkan kasih sayang kepada seorang cucu.

“Nenek seorang yang tegas dan pernah beberapa kali memarahi saya kerana lambat menunaikan solat, menunjukkan dia amat prihatin serta menghormati agama lain.

“Dia sering menghantar saya mengaji al-Quran, jika malas nenek tidak teragak-agak merotan saya,” katanya. Seorang lagi cucunya, Kalsom Ahmad, 43, berkata, neneknya memiliki daya ingatan yang kuat walaupun sudah berusia 90-an dan dia masih boleh mengingati nama cucu-cucunya. “Walaupun tiga daripada empat anaknya memeluk Islam, nenek sangat sayangkan kami malah tidak ada pilih kasih dalam melayan kami.

“Malah, kami semua paling gembira setiap kali menjelang musim perayaan kerana kami menyambut tiga perayaan setiap tahun iaitu Tahun Baru Cina, Aidilfitri dan Aidiladha,” katanya.

Kalsom berkata, nenek juga sering mengingatkan mereka agar bersederhana dalam perbelanjaan harian kerana dia sudah terbiasa dengan kehidupan susah sejak zaman muda.

Sementara cicit pertama mendiang, Marfuaah Mahfuz, 28, berkata, dia dan ahli keluarga lain tidak kekok membantu menguruskan pengebumian moyangnya itu selain turut mengiringi jenazah mendiang hingga ke tanah perkuburan.

Katanya, bukan saja tidak pernah membezakan agama, moyangnya juga melarang mereka daripada menjamah makanan tidak halal hinggakan menu makanan istimewa pada majlis makan besar Tahun Baru Cina turut diubah kepada masakan Melayu.

Moyang yang manja dengan panggilan ‘Mama’ itu juga dianggap istimewa apabila meminati penyanyi Melayu kelahiran negeri ini, Mawi selain gemar menonton drama Melayu dan Indonesia di televisyen (TV) termasuk sinetron Bawang Putih Bawang Merah.

“Oleh kerana tidak mahu terlepas rancangan kegemarannya, Mama sanggup makan malam lebih awal sebelum duduk depan TV.

“Pling menarik, Mama tidak membaca akhbar berbahasa Cina, tetapi memilih Harian Metro sebagai bacaan kegemarannya.

“Saya sentiasa ingat pesan Mama yang tidak suka perbuatan kurang ajar apa lagi menderhaka kepada orang tua atau membuli ahli keluarga,” katanya.


Sumber: Metro

Spiderman Perancis Lakar Rekod Baru Panjat Roda Ferris Terbesar Dunia

'Spiderman' Perancis Alain Robert melakar satu lagi kejayaan untuk dirinya Jumaat selepas dia mencipta sejarah memanjat Singapore Flyer, Roda Ferris terbesar di dunia yang terletak di Marina Bay di sini.

Warga Perancis berusia 48 tahun itu mengambil masa kurang daripada 40 minit untuk menyudahkan panjatan keseluruhan Roda Ferris setinggi bangunan 42 tingkat itu, sambil diperhatikan oleh orang ramai dan media antarabangsa.

Robert, yang menjadi terkenal kerana kemampuan luar biasanya memanjat bangunan pencakar langit di serata dunia tanpa mendapat kebenaran dari pihak berkuasa bangunan, sangat gembira kerana berjaya memanjat dengan lancar.

Untuk aksinya hari ini, Robert mendapat kelulusan pihak berkuasa Singapura tetapi dengan syarat beliau perlu menggunakan peralatan keselamatan semasa memanjat.

Bercakap kepada pemberita selepas berjaya melakukan panjatan itu, Robert berkata memanjat Roda Ferris tidak memberi sebarang risiko kepadanya kerana beliau menggunakan peralatan keselamatan kecuali keadaan roda yang basah disebabkan hujan renyai pada sebelah petang.

Robert berpendapat memanjat Menara Berkembar Petronas di Malaysia pada 2009 lebih mencabar dan berbahaya kerana beliau tidak memasang peralatan keselamatan pada ketika itu.

Untuk panjatan hari ini, katanya ia adalah suatu pengalaman baru kerana ini adalah pertama kali beliau tidak memanjat bangunan dan pemandangan latar langit bandaraya itu dari atas roda amat mengagumkan dan menarik.

Mengenai masa depannya, Robert, yang ditahan di 12 negara berlainan kerana memanjat secara haram berkata, beliau merancang untuk memanjat lebih banyak bangunan pencakar langit di sekitar Eropah, China dan Amerika Syarikat, tetapi dengan kebenaran pihak berkuasa negara berkenaan.

Katanya perbincangan sedang dilakukan dengan pihak berkuasa berkaitan bagi membolehkan beliau memanjat beberapa bangunan pencakar langit di China, Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu.

"Ia adalah salah satu impian saya untuk memanjat bangunan tertinggi di dunia mempunyai ketinggian 828 meter, Burj Khalifa, di Dubai sebelum saya meninggal dunia," kata Robert.


Sumber: Bernama