Monday, November 8, 2010

Dengar letupan 5 minit lepas terjun treler

Tanpa berlengah saya terjun dari tempat duduk sebaik menyedari asap berkepul-kepul keluar dari bahagian treler yang berlanggar.

“Saya dipapah anak ke tepi jalan kerana tidak berdaya lagi untuk bergerak. Tidak sampai lima minit, saya terdengar letupan sebelum treler dan kereta itu terbakar,” kata pemandu treler, Rosli Che Hassan, 50, ketika ditemui di Hospital Muadzam Shah (HMS) di sini, semalam. Menceritakan detik sebelum kemalangan ngeri menyebabkan empat sekeluarga rentung itu, Rosli berkata, dia dan anaknya, Rozlan, 18, dalam perjalanan ke Rantau Panjang, Kelantan menghantar bekalan kelapa yang diambil dari Batu Pahat, Johor. Menurutnya, dia bertolak dari Batu Pahat kira-kira jam 5 petang kelmarin dan sempat berhenti rehat dan makan di persimpangan Bahau, dekat Keratong, sebelum kemalangan.

Katanya, beberapa saat sebelum kejadian dia melihat kereta dinaiki mangsa di laluan bertentangan cuba memotong sebuah lori. “Kereta itu dapat memotong dan memasuki laluannya semula. Namun, tiba-tiba ia terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian depan treler saya. “Selepas itu, kereta terbabit terperosok ke bahagian tengah treler dan saya terpaksa memberhentikan kenderaan yang dipandu,” katanya.

“Saya sedih kerana tidak dapat membantu mereka, apatah lagi saya juga cedera. Inilah pengalaman pertama saya terbabit dalam kemalangan maut selama 25 tahun menjadi pemandu,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.

Rosli berkata, walaupun kejadian itu menjadi pengalaman paling tidak dapat dilupakan, dia tidak berhasrat untuk berhenti sebagai pemandu memandangkan ia satu-satunya pekerjaan yang mampu menyara kehidupannya.


Sumebr: Metro

Hayati kata-kata Salih Yaacob

Ribut tidak, angin tidak, tiba-tiba rumah tangga pelakon dan penyanyi Erra Fazira digosipkan bergoncang. Saya melihat Erra sudah menemui kebahagiaan yang diimpikan setiap wanita apabila berkahwin dan dikurniakan anak comel, Engku Aleesya. Waktu sama, dirinya tetap mendapat tawaran berlakon dan juga mengacara siap ada program sendiri.

Waktu sama, saya sendiri menerima gambar-gambar Erra ketika menerima kejutan sempena ulang tahun perkahwinan keduanya pada pada 25 Oktober lalu oleh peserta Mari Menari yang berada di bawah jagaan Erra, Zul, Yat dan Masri. Erra kelihatan begitu terharu dengan kejutan yang turut dihadiri suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Bagi saya, rumah tangga mana yang tidak bergelora, pasangan mana yang tidak berhadapan masalah. Apa yang penting keinginan untuk memperbaiki kelemahan dan cuba menjadi isteri dan suami terbaik untuk pasangan. Semoga Erra dan Emran terus bahagia ke akhir hayat.

Sekarang berita keruntuhan rumah tangga artis bagaikan bermusim dan cukup menakutkan. Sudahlah sana-sini membimbangkan dengan berita gempa, banjir dan letusan gunung berapi, cerita pergolakan artis juga sama hebatnya.

Pelakon dan model Aleeza Kassim sah bercerai dengan Mohd Fauzi Che Ros pada 27 Oktober lalu. Pasangan itu sah bercerai secara baik di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur dalam prosiding yang dibuat secara tertutup.

Penyanyi Siti Norsaida Tarudin yang juga kakak penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza, menfailkan permohonan untuk bercerai secara baik daripada suaminya, Mohd Ghazali Yahya Zikri, di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 6 Oktober lalu. Mahkamah memutuskan 20 Disember ini mendengar kes mereka.

Begitu juga komposer Adnan Abu Hassan dalam proses perceraian manakala rumah tangga pelakon Rita Rudaini Mokhtar dikatakan terus bergolak. Waktu sama, tunggu juga berita gembira mengenai Raja Azura atau Kak Engku kalau-kalau rujuk semula dengan bekas suami. Namun sehingga kini, belum dengar lagi, tidak tahulah kalau perkara baik ini tidak diketahui umum.

Rabu lalu, saya berbual dengan penyanyi, pelawak, pelakon, pengacara dan penyampai Sinar FM, Salih Yaccob, 49, untuk berkongsi rahsia kejayaannya kekal dalam industri selama 30 tahun. Salih meraikan pencapaiannya dalam majlis Santai Bersama Salih Yaccob 30 Tahun Dalam Industri Hiburan pada 30 Oktober lalu.

Apa yang menarik, Salih bukan saja tabah mengharungi cabaran dunia seni hingga bertahan selama 30 tahun, malah berjaya melayari hidup berumahtangga bersama tiga isteri dan 11 anak! Bukan calang-calang orang yang mampu melakukannya. Sudah tentu topik mengenai artis bercerai turut dibualkan.

Salih sempat bersyarah dengan saya mengenai ilmu agama untuk dijadikan pegangan hidup kita seharian. Katanya, sebelum menceburi dunia seni, dirinya juga dibekalkan didikan agama. Apabila menceburi dunia seni, dia juga mengenali kumpulan dakwah dan ini memberi ruang kepadanya belajar dan mengkaji ilmu yang ada pada dirinya.

Katanya, kita perlu hayati betul-betul makna dalam al-Quran kerana ia lengkap untuk menjadi pedoman hidup. Salih juga cuba renungkan kehidupannya yang mencari rezeki dalam seni. Sebagai manusia biasa, dia sedar urusannya dengan Allah swt dan ia perlu menjadi keutamaan dalam hidup.

"Orang sekarang, kalau ada masalah pergi kaunseling dan minta nasihat orang itu dan orang ini. Ia tidak akan berjaya tetapi kalau kita minta tolong daripada Allah swt, Dia akan membantu kita.

"Itu yang saya praktikkan ketika sakit dulu. Ketika itu saya hilang suara dan terlantar sakit berbulan-bulan lamanya tanpa diketahui penyakitnya. Tapi saya yakin dengan Allah swt dan berserah kepada-Nya. Saya membaca al-Quran dan memahami maknanya dan akhirnya saya sembuh.

"Sememangnya bukan kecil cabaran ditempuh orang seni tapi jika beramal dengan ajaran-Nya, ia menjadi kekuatan kepada kita dan mampu menjauhi segala bala dan perpecahan rumah tangga. Saya sendiri pernah gagal mempertahankan perkahwinan pertama kerana pergolakan iman dan kekufuran.

"Tahun 2000 saya anggap sebagai perubahan jiwa dan bermula kehidupan baru. Segala hasil yang dulu saya tinggalkan dan saya bangkit dengan rezeki diberikan. Saya tidak banyak berharap dan apa yang diberikan itu adalah rezeki yang berhak diberikan kepada isteri dan anak.

"Saya juga yakinkan dan tekankan kepada mereka supaya yakin dengan Allah. Didikan rohani dan batin ini mampu menjadi benteng dalam menempuh cabaran hidup. Kita perlu mencari iktibar dan bukan mencari kesilapan," katanya.

Pastinya bukan mudah untuk kita mendapat keredaan hidup kerana ia memerlukan kesabaran, ketabahan dan paling penting, keimanan.


Sumber: Metro

Penyokong 'bakar' Rooney

PENYOKONG menggunakan kereta untuk menegakkan patung Rooney beberapa jam sebelum dibakar (kanan) tanda protes sikap penyerang United itu.
Penyokong menggunakan kereta untuk menegakkan patung Rooney beberapa jam sebelum dibakar (kanan) tanda protes sikap penyerang United itu. 
 
Selepas mengecewakan negaranya, penyerang England, Wayne Rooney ‘dibakar’ sehingga menjadi abu oleh peminatnya yang kecewa.

Patung yang menyerupai pemain 24 tahun itu dibakar kelmarin sebagai sebahagian daripada sambutan acara unggun api yang disambut setiap tahun di England, dan Rooney menjadi sasaran selepas aksi hambarnya ketika Piala Dunia.
England tersingkir pada pusingan kedua di Afrika Selatan 2010 dan Rooney dipaksa memohon maaf selepas satu perlawanan kerana berkata di depan kamera TV: “Bagus melihat penyokong sendiri mencemuh anda. Itulah sokongan setia sebenar.”

Sebahagian besar penyokong masih tidak dapat memaafkan Rooney – terutama pengikut setia United yang kemudian melihat penyerang bintang itu mengugut mahu meninggalkan United bulan lalu, sebelum menukar fikiran dan menandatangani kontrak baru bagi tempoh lima tahun akan datang.

Keadaan bertambah buruk dengan tuduhan kecurangan Rooney yang mengadakan hubungan sumbang dengan pelacur.

Upacara membakar patung yang memakai jersi United bernombor 10 itu disaksikan beberapa ratus peminat di pekan Edenbridge.


Sumber: Berita Harian

Sathianathan Idam Kembali Terajui Skuad Kebangsaan

Jurulatih pasukan Kelantan B. Sathianathan meluahkan hasrat untuk kembali membimbing skuad bola sepak kebangsaan setelah membuktikan kemampuannya membawa Kelantan menjuarai Piala Malaysia buat pertama kali baru-baru ini.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu berkata beliau bersedia pada bila-bila masa untuk kembali melatih skuad kebangsaan sekiranya diberikan peluang kedua oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Memang menjadi harapan semua jurulatih untuk bergelar sebagai jurulatih kebangsaan dan saya pernah berada di posisi itu suatu ketika dahulu.

"Sekiranya pihak FAM memberi peluang kedua, saya tidak akan lepaskan peluang tersebut kerana saya minat untuk kembali bergelar jurulatih kebangsaan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sathianathan berkata beliau tidak merendahkan kemampuan jurulatih kebangsaan ketika ini K.Rajagobal yang disifatkannya sebagai seorang jurulatih yang berbakat.

"Saya puji dengan langkah bijak dan berani Rajagobal mengetengahkan barisan pemain baru dan memberi peluang kepada mereka untuk beraksi pada Sukan Asia di Guangzhou, China," katanya.

Rajagobal terpaksa mengugurkan beberapa pemain terbaiknya ke Guangzhou apabila sebilangan besar pemain senior mengalami kecederaan ketika menghadapi saingan sepanjang musim liga tempatan.

Kekosongan itu diisi Rajagopal dengan beberapa orang pemain baru bagi mengalas cabaran yang akan bermula Isnin.

Pada Isnin, Malaysia dijadual bertemu Kyrgyztsan pada perlawanan pertama kumpulan A di Stadium Huagong, Guangzhou, China kira-kira 4 petang pada waktu tempatan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Sathianathan berkata beliau akan terus mempertahankan kritikannya bahawa liga Malaysia belum mencapai tahap liga profesional.

Sathianathan berkata beliau mengkritik demikian kerana mahu melihat mutu bola sepak Malaysia dipertingkatkan demi kelangsungannya pada masa hadapan.

Selain itu, beliau juga menyedari bahawa sebilangan besar pasukan negeri dan kelab tempatan tidak berminat untuk mengambinya sebagai jurulatih kerana tidak suka dengan sikapnya yang disifatkan sebagai panas baran.

"Dalam sukan bola sepak, kita tidak perlu bodek orang untuk mendapat tempat sebaliknya untuk memajukan sukan ini, kita kena berterus-terang," katanya.

Sathianathan disingkirkan daripada mengemudi skuad kebangsaan oleh FAM pada awal 2009 apabila beliau mengkritik mutu bola sepak Malaysia yang disifatkan bukan bola sepak sebenarnya.

Baru-baru ini, beliau memenangi gelaran Jurulatih Terbaik 2010 pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-FAM setelah memimpin Kelantan menjuarai Piala Malaysia buat pertama kali.


Sumber: Bernama

Semua Projek Pembangunan Di Tempat Suci Berjaya - Gabenor Mekah

Gabenor Mekah, Putera Khaled Al-Faisal, berkata semua projek besar yang dilaksanakan tahun ini di tanah suci itu telah mencapai kejayaan besar bagi memberi manfaat kepada rakyat dan golongan ekspatriat.

Katanya antara projek penting adalah pengenalan perkhidmatan tren baru, pembinaan Jambatan Jamarat, projek saliran air hujan dan banjir serta projek perkhidmatan ambulans udara oleh Pihak Berkuasa Bulan Sabit Merah.

Akhbar 'The Saudi Gazette' hari ini memetik beliau sebagai berkata demikian selepas melakukan tinjauan terhadap semua projek tersebut.

Putera Khalid berkata banyak projek telah dilaksanakan di Mekah bagi menangani masalah hujan dan banjir serta persediaan telah dibuat bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

Menurutnya terdapat sistem penyelarasan antara perkhidmatan tren dan pengangkutan ulang-alik bagi memudahkan pergerakan jemaah haji antara tempat-tempat suci pada musim haji tahun ini.

Walaupun perkhidmatan tren baru itu beroperasi pada kapasiti 30 peratus sahaja namum ia memberi kesan besar kepada sistem pengangkutan bagi jemaah haji, katanya, yang juga pengerusi Suruhanjaya Tinggi Bagi Pemantauan Pengangkutan Jemaah Haji.

Semasa tinjauan itu, Putera Khaled menaiki tren di Stesen No.1 di Arafat sehingga ke Stesen Jamarat di Mina.

Sejumlah 780,000 jemaah dijangka menggunakan sistem tren tersebut.

Kira-kira 44,000 jemaah haji akan menaiki bas setiap jam dan masa perjalanan antara Arafat dan Muzdalifa akan dipendekkan dari lima jam kepada 20 minit sahaja, katanya.

Dalam pada itu, jemaah haji akan menikmati akses internet tanpa wayar secara percuma di kawasan tempat suci apabila syarikat Mobily menyediakan perkhidmatan WiFi percuma kepada semua pelanggan telekom.


Sumber: Bernama

PAS guna cara agama serang saya, kata Zambry

Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mendakwa oleh kerana sokongan orang Melayu telah kembali meningkat terhadap kerajaan BN, PAS terpaksa menggunakan cara lama mereka iaitu memainkan agama sebagai isu untuk menarik semula sokongan itu.

Dakwanya, cara itu turut digunakan untuk melaga-lagakan hubungan yang baik antara beliau dan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berhubung amalan khurafat yang didakwa dilakukannya ketika upacara meletak ancak di tiang seri rumah semasa program Projek Infra Bina Upaya di Kampung Guar, Manong di Kuala Kangsar pada 17 Oktober lalu.

"Mereka menggunakan agama untuk menyerang saya. Mereka memainkan agama sebagai isu kerana mereka tahu sokongan orang Melayu kembali kuat kepada kerajaan BN...Saya tidak pernah mempertikaikan pandangan Mufti, berbeza dengan mereka yang hanya pandai mengambil kesempatan untuk meraih sokongan politik," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Deepavali di kediamannya di Ipoh, semalam.

Sebaliknya, kata Zambry semasa Menteri Besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin dan Khalil Idham Lim (ADUN Titi Serong) memperingati kematian Setiausaha Politik Exco Kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock dengan memegang lilin yang bernyala dan berpakaian serba hitam, tiada pula teguran yang dibuat parti itu.

Pada 22 Oktober lalu, Dewan Pemuda Pas mendesak Harussani memberi teguran kepada Zambry yang didakwa telah mengadakan upacara meletak ancak pada tiang seri rumah yang mana amalan itu bertentangan dengan akidah Islam.
Pada upacara ketika merasmikan program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar dalam DUN Manong, Zamri telah meletak ancak ke tiang seri di tapak pembinaan rumah orang kurang upaya.

Menurut PAS upacara itu diwarisi oleh orang dahulu yang bersifat "karut, syirik dan dan bercanggah dengan akidah Islam".

"Upacara meletakkan tiang seri - tiang tengah rumah - dengan menepung tawar diiringi bacaan doa tertentu adalah amalan karut seperti mahu menjadi rumah itu aman... Kita (orang Islam) hanya diminta untuk bergantung kepada Allah," kata ketua pemuda PAS negeri Zawawi Hassan.


Sumber: MalaysiaKini

Awang Selamat wartawan pendusta

Saya ingin melahirkan kekesalan terhadap tulisan Awang Selamat di dalam Mingguan Malaysia pada hari ini (7 November 2010) yang jelas melakukan serangan peribadi kepada al-Mursyidul Am PAS, YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ekoran kegagalan PAS mempertahankan Dun Galas di dalam pilihanraya kecil 4 November yang lalu.

Di bawah tajuk ‘Maafkan Nik Aziz’, Awang Selamat yang tidak diketahui identiti sebenarnya ini memulakan serangan ke atas PAS kononnya mempunyai penyokong yang seringkali melakukan provokasi.

Barangkali kerana sering berlindung di bawah lumut dalam tempurung sempit Umno, Awang Selamat telah buta atau membutakan matanya sendiri untuk melihat telatah penyokong Umno yang jelas sekali lebih gemar melakukan provokasi. Butakah Awang Selamat untuk melihat telatah penyokong Umno yang secara tidak berakhlak melakukan tindakan yang tidak bermoral sama ada sewaktu penamaan calon mahupun hari pengundian bagi mencetuskan kemarahan penyokong Pakatan Rakyat?

Di dalam isu wang zakat yang dianggap rasuah oleh Umno, wartawan pengecut Awang Selamat ini nampaknya terus keliru untuk membezakan wang zakat dan rasuah. Wang zakat yang mencetuskan kontroversi itu diberikan kepada orang-orang asli yang memeluk agama Islam. Sememangnya ia diberikan semenjak dahulu lagi dan tidak menunggu saat pilihanraya kecil diadakan sahaja. Wang kertas yang dihulurkan tersebut bukanlah kepunyaan YAB Menteri Besar Kelantan yang disifatkan oleh Awang Selamat sebagai ‘sedekah’ itu, tetapi merupakan salah satu peruntukan asnaf zakat yang dikeluarkan oleh  pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JHEAIK). Ia bukanlah seperti pemimpin Umno yang merompak hasil royalti minyak Kelantan lalu dihulurkan di atas nama wang ehsan seperti yang dilakukan oleh beberapa kerat pemimpin Umno sanjungan Awang Selamat.

Jika ia merupakan rasuah, pihak Umno dicabar untuk membawa kes ini ke mahkamah dan jangan hanya berselindung di sebalik nama murahan Awang Selamat yang melacurkan pena wartawan untuk kepentingan ‘perut’ semata-mata.

Awang Selamat seterusnya memfitnah Tuan Guru Nik Abdul Aziz di dalam isu pertikaman lidah dengan salah seorang ulama besar Umno iaitu Mohd Nor Deris. Menurut Awang Selamat, “Nik Aziz kelihatan  melenting dan enggan bersalam dengan Mohd Nor”.

Untuk pengetahuan si wartawan pendusta ini, insiden ini bermula apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz menghulurkan salam kepada Mohd Nor Deris lalu tidak disambut oleh Mohd Nor Deris dengan alasan PAS berkawan dengan DAP. Ini disahkan sendiri oleh Mohd Nor kemudiannya dengan menyatakan tangan Tuan Guru ialah tangan syaitan menerusi kasyafnya. Sekali lagi dinyatakan, Mohd Nor Deris yang tidak menyambut huluran tangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Tulisan ini hanyalah sebagai satu respons kepada Awang Selamat yang telah sekian lama berlindung di sebalik nama samaran dan menyembunyikan identiti yang sebenar. Jika beginilah sikap penulisan wartawan yang bertugas di Utusan Melayu (M) Berhad ini, jangan disalahkan pihak kami jika wartawan mereka tidak dibenarkan membuat sebarang liputan mahupun mendekati pejabat Menteri Besar Kelantan nanti.

Yang benar,

Ahmad Fadhli Shaari,
Setiausaha Akhbar,
Menteri Besar Kelantan.
Bertarikh: 7 November 2010


Sumber: Harakah

Zaid tarik diri, letak semua jawatan PKR

Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dan meletak semua jawatan dalam parti itu.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan membuat keputusan itu kerana tidak ada usaha dari pimpinan parti untuk mengatasi pelbagai masalah manipulasi dan amalan pemilihan yang tidak adil, walaupun isu itu diungkit berkali-kali.

“Saya ditawarkan untuk bergabung dengan parti ini di bawah kepercayaan bahawa saya boleh mempromosikan politik progresif, memelihara dan mengembangkan nilai-nilai politik berprinsip dan budaya yang saya anggap penting bagi perkembangan demokrasi dan tata pemerintahan yang baik di negara ini.

“Aku salah,” tulisnya di dalam blognya http://www.zaiduntukrakyat.com hari ini.

Selama pemilihan parti, katanya peristiwa telah menunjukkan bahawa kepimpinan secara aktif membenarkan tindakan penyelewengan dan penipuan untuk mencapai tujuan yang dirancang.

Beliau yakin bahawa setiap parti politik dengan nilai-nilai munafik dan palsu tidak akan boleh menawarkan reformasi yang bererti bagi rakyat.

Begitupun, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengucapkan terima kasih kepada semua ahli yang telah menyokongnya dan menempatkan mereka di jalan reformasi.

Keputusan yang diambil itu, ujarnya adalah kekecewaan sepenuhnya bahawa beliau tidak boleh meneruskan proses pemilihan yang cacat.

“Saya tetap komited untuk menyebabkan pembangkang dan akan terus bercakap tentang isu-isu rakyat jelata. Kita akan terus bersama meneruskan perjuangan terhadap kerajaan yang lebih baik untuk rakyat,” ujarnya.

Beliau berharap para peminat Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi menganggapnya sebagai spoiler menyekat perjalanan ke Putrajaya.


Sumber: Harakah

Banjir: BN hanya berlakon, tuduh melulu

Dakwaan Kerajaan Persekutuan bahawa Kerajaan Negeri Kedah melepaskan tanggungjawab untuk membantu mangsa banjir di negeri itu adalah tuduhan melulu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

(Gambar: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak turun bertanya khabar mangsa banjir di pusat pemindahan)

 Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, sejak dari awal banjir melanda negeri itu, kerajaan negeri sudah mengambil tindakan membantu mangsa banjir termasuk memastikan pusat penempatan sementara mencukupi.



"Tuduhan mengatakan kerajaan Negeri Kedah tak ambil tahu masalah mangsa banjir satu tuduhan yang sangat melulu, yang dibuat oleh Barisan Nasional.

"Kerajaan negeri menyediakan bantuan untuk diagihkan kepada mangsa banjir termasuk sumbangan daripada PAS sendiri, wakil-wakil rakyat dan sumbangan orang ramai," kata Mahfuz ketika dihubungi Harakahdaily pagi ini.

Ujarnya, media hanya membuat laporan berdasarkan kenyataaan pempimpin Umno, tanpa mengikuti sendiri perkembangan dan usaha yang dilakukan kerajaan negeri.

"Media juga memberikan laporan yang tak betul. Kata tak ada pemimpin Pakatan Rakyat yang turun dan sebagainya. Media tak pernah pun ikut kita. Kita pun tak fikir waktu banjir ini nak panggil media, tak sempat nak tunggu media datang untuk kita redah kawasan banjir.

"Kalau nak tunggu media datang baru nak pergi kawasan banjir, bermasalah juga. Mana nak jaga orang media, mana nak bawa bantuan, bot pun tak cukup.

"Kita tak ada masa nak ambil gambar, nak berlakon, jadi kita pergi semata-mata untuk bagi bantuan. Sharizat datang sehari dua sahaja, bukan pergi semua kawasan pun," katanya.

Menurutnya juga, keadaan banjir di negeri itu sudah semakin pulih namun ada beberapa kawasan yang masih ditenggelami air.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri masih meneruskan pemberian bantuan khususnya bekalan makanan dan air bersih.

"Banjir makin pulih dan sebahagian besar mangsa sudah pulang.Tapi masak dan makan minum masih di pusat penempatan. Dijangka esok sebahagian besar mangsa akan pulang ke rumah masing-masing.

"Bantuan masih diperlukan kerana kita nak pastikan setelah pulang dari pusat pnempatan, mereka dapat bagi tumpuan untuk cuci rumah yang mengalami banyak kerosakan dan harta benda.

"Kita akan bagi apa-apa sumbangan yang ada dalam stok kita khususnya air bersih kerana di kawasan tertentu bekalan air terputus," katanya lagi.

Mahfuz juga memaklumkan, misi bantuan banjir di kawasannya akan bergerak ke Kampung Empa dan Kampung Seberang Paya di Dun Bukit Lada hari ini untuk menghantar bantuan kepada mangsa di kawasan itu yang terputus hubungan dengan kawasan lain sejak beberapa hari yang lalu.

"Penduduk di sana terputus hubungan dengan kawasan lain. Bomba pun tak berani nak pergi sebab bot mereka kecil dan arus deras," jelasnya.

Bekalan makanan juga akan dihantar ke Dun Bukit Pinang hari ini.


Sumber: Harakah

15 jam tunggu bantuan di laut

PETUGAS hospital memberikan rawatan kepada mangsa-mangsa bot karam yang diselamatkan di Pengkalan Marin Wilayah 3, Setiu semalam.


Umpama mati hidup semula.

Itu yang dirasai 16 mangsa termasuk seorang daripadanya merupakan seorang kanak-kanak berusia empat tahun dan seorang wanita hamil empat bulan apabila mereka diselamatkan selepas 15 jam terapung di laut.

Kejadian berlaku pada pukul 7 malam selepas bot jenis katamaran yang ketika itu membawa 15 pelancong dan seorang jurumudi dalam perjalanan pulang ke Jeti Kuala Dungun selepas melakukan aktiviti selam skuba di Pulau Tenggol tiba-tiba bocor.

Kebocoran itu dikesan di belakang bot dekat enjin menyebabkan bot tersebut dimasuki air sebelum ia tenggelam.

Cerita jurumudi bot terbabit, Zul Fadhly Yahya, 29, kerosakan pada botnya mula dirasai apabila ia bergerak perlahan secara tiba-tiba ketika perjalanannya pada jarak 8 batu nautika dari Jeti Kuala Dungun.

"Apabila toleh ke belakang saya nampak enjin bot hampir tenggelam dan air mula memasuki badan bot," ceritanya yang memberitahu dia segera berpatah balik ke Pulau Tenggol.

Namun ketika berpatah balik, bot itu semakin perlahan dan air semakin banyak masuk.

"Waktu itu bot sudah senget jadi saya risau jika 15 penumpang yang saya bawa itu tidak terjun, mereka akan tenggelam bersama bot," katanya ketika ditemui di Jeti Marin Wilayah Timur di sini semalam.

Oleh itu, semua penumpang yang memakai jaket keselamatan diarahkan terjun ke dalam laut hanya beberapa saat sebelum bot tenggelam.

"Di dalam laut yang gelap kami formasi dalam bentuk bulatan dan saling membantu satu sama lain," katanya.

Sebelum terjun dari bot, menurut Zul Fadhly, dia sempat memaklumkan kejadian itu kepada seorang rakannya di resort tempat dia bekerja dan meminta bantuan.


Sumber: Kosmo