Saturday, November 6, 2010

SPRM Belanja Lebih Kerana Struktur Semula BPR

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menarik perhatian berhubung dengan berita yang disiarkan di Akhbar Harakah bertarikh 1 November 2010 (Isnin) bertajuk ”Mengapa SPRM belanja lebih dari peruntukan?”.

SPRM ingin mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan terhadap perjalanan operasi SPRM terutama mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2009.

Bagaimanapun, SPRM ingin menjelaskan bahawa lebihan perbelanjaan menurut Laporan Audit 2009 berkenaan adalah disebabkan penubuhan SPRM yang berkuatkuasa 1 Januari 2009 menggantikan Badan Pencegah Rasuah. Perbelanjaan lebihan ini telahpun diluluskan melalui Waran Am Bilangan 3 Tahun 2009 bertarikh 26 Mei 2010 yang mendapat kelulusan Parlimen.

Penstrukturan ini telah mengakibatkan pewujudan Jadual Gaji Matriks baru bagi skim SPRM untuk semua gred jawatan dengan melibatkan seramai 1,256 orang pegawai SPRM daripada skim Keselamatan Rasuah (KR) kepada Skim Pencegahan (P) sebagaimana mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bil 25 Tahun 2008.

Pelaksanaan kenaikan pangkat Pegawai Kumpulan Sokongan yang telah berkhidmat lebih 15 tahun dalam perkhidmatan juga memberi kesan pada pertambahan perbelanjaan.

Selain itu, pertambahan perbelanjaan ini adalah disebabkan perubahan bayaran Insentif Pencegahan Rasuah dan perubahan skim gaji baru menjadikan keseluruhan lebihan perbelanjaan sebanyak RM6,831,600.00 juta pada tahun tersebut.

Sebenarnya, lebihan perbelanjaan ini sama sekali tidak membawa maksud SPRM melanggar mana-mana arahan perbendaharaan ataupun melanggar mana-mana prosedur pengurusan kewangan sebaliknya ia hanyalah melibatkan pembayaran emolumen akibat penstrukturan semula SPRM yang berkuatkuasa 1.1.2009.

SPRM masih tetap menguatkuasakan soal integriti, kebebasan, ketelusan dan profesionalisme serta sentiasa memerangi jenayah rasuah tanpa kompromi.


Sumber: Harakah

No comments:

Post a Comment