Friday, November 5, 2010

Orang Asli Antara Punca PAS Tumpas Di Galas

PAS mendakwa, antara sebab kekalahannya dalam pilihan raya kecil DUN Galas ialah masalah akses kepada masyarakat Orang Asli.

Ia menjadi penyebab merosotnya sehingga 13 peratus di enam kawasan Orang Asli tersebut.

Di kawasan majoriti Melayu, PAS kehilangan sehingga 8 peratus, lebih tinggi daripada yang dijangka sebelumnya.

Pengundi Melayu mewakili sebanyak 60 peratus daripada jumlah penduduk di situ.

Oleh sebab itu, kehilangan undi sebanyak 8 peratus memberi makna yang besar kepada PAS, menurut penasihat jenteranya Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

PAS hanya dapat mengekalkan pengaruhnya di Sungai Terah, itupun dengan majoriti yang rendah.

Di kawasan pengundi Cina, sokongan masyarakat berkenaan juga nampaknya berkurangan berbanding 52 peratus pada Mac 2008.

Faktor kemenangan BN, diakui sendiri oleh pengarah jenteranya Tengku Razaleigh Hamzah, antaranya adalah hasil pendekatan baru yang dianjurkannya dalam kempen kali ini.

Tiada rapat umum yang besar dijalankan BN, dan ia juga lebih aktif menggunakan media baru, termasuk salah satu media rasminya Umno Online.

Kemenangan itu akan meningkatkan moral jentera BN dalam memenangi semula negeri Kelantan.

Dalam menghadapi gelombang ini, PAS perlu bersiap sedia.

Barisan pemimpinnya, khususnya di Kelantan perlu dipersiapkan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru ini.

PAS perlu meneliti faktor-faktor yang memberi kesan kepada pengundi luar dan pengundi muda ini.

Apakah isu-isu melibatkan pemimpinnya sendiri yang menjejaskan sokongan golongan ini?


Sumber: MalaysiaKini

Kita Lunas Dalam PRU Nanti – Wan Azizah

Pakatan Rakyat akan melunaskan dalam pilihan raya umum akan datang ekoran kekalahan kepada BN pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan Dun Galas.

Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, meskipun terpaksa berhadapan dengan sogokan pengundi, penyalahgunaan jentera dan dana kerajaan, dan serangan bertubi-tubi media arus perdana, Pakatan Rakyat tetap mencatatkan keputusan yang memuaskan.

Keputusan semalam, katanya menyaksikan undi golongan muda kepada Pakatan Rakyat meningkat di kedua-dua kerusi Batu Sapi dan Galas.

Ini juga, ujarnya yang diperlihatkan secara konsisten dalam 7 kemenangan Pakatan Rakyat dalam siri-siri pilihan raya kecil usai 2008 lagi.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah buat jentera pilihan raya yang begitu komited dan bertungkus-lumus bekerja tanpa mengenal penat lelah demi memastikan kemenangan calon-calon Pakatan Rakyat.

“Tewas bukan bererti kita harus akur pada situasi semasa, hakikatnya ia menjadi satu ruang untuk kita memperkemaskan jentera dan juga mengenal pasti kekurangan yang perlu ditambah baik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sekalung tahniah buat para petugas Keadilan khususnya dan Pakatan Rakyat amnya di Batu Sapi dan Galas, katanya.

Tambahnya, kepada rakyat yang memberikan undi kepada PKR di Batu Sapi, sokongan mereka dihargai sepenuhnya.

Menurutnya, ia jelas membuktikan bahawa Sabah, meskipun disebut sebagai ‘fixed deposit’ bagi BN, bukan lagi tapak selesa bagi mereka.

“Insya Allah kita lunaskan dalam pilihan raya umum akan datang,” ujarnya.


Sumebr: Harakah

Galas, Batu Sapi Loceng Amaran Bangkit PRU 13

Parti Islam Se-Malaysia mengangap kekalahan PAS di Dun Galas dan PKR di Parlimen Batu Sapi sebagai satu loceng amaran untuk terus bangkit dan muhasabah terhadap kerja parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU 13).

PAS menerima kekalahan di Galas sebagai satu adat perlawanan. Pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi merupakan satu siri pilihan raya yang menampakkan ketempangan demokrasi dan pencabulan media terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.

Keputusan di Galas bukan satu yang mengejutkan kerana, sebelum ini pilihan raya kecil Manek Urai yang merupakan kubu kuat PAS pun, hampir PAS tewas dengan majoriti 65 sahaja.  Begitu juga sebelumnya ketika PRK Pengkalan Pasir merupakan kubu kuat PAS tewas dan dapat tawan kembali dalam PRU 12.

Insya Allah, PAS akan membuat muhasabah ke dalam dengan melihat masalah-masalah yang perlu diperbaiki. Sebagai sebuah parti Islam, kekalahan ini akan memberi satu pengajaran yang berguna, kerana setiap musibah ada hikmahnya.

Kemungkinan Allah tidak mahu kita leka dengan kemenangan cemerlang PRU 12 sehingga menimpa kekalahan yang mengejutkan dalam PRU 13.

Kekalahan PAS di Galas, bukan bererti kita menjadi malas untuk berjuang, sebaliknya kita mesti bersemangat untuk menggalas amanah ummah di negara ini untuk menggantikan Umno sebagai wadah perjuangan orang Melayu di negara ini. PAS tidak akan membiarkan rakyat menjadi mangsa kezaliman Umno terhadap rakyat sehingga kualiti hidup rakyat semakin teruk.

Kenaikan harga barang, jenayah bunuh meningkat, perzinaan dan  buang bayi meningkat. PAS mesti berusaha untuk bekerja dengan lebih kuat. Kita perlu sekat kemenangan mereka, dengan kita mesti bekerja kuat untuk menangkis fitnah dan menerangkan wadah perjuangan kepada masyarakat.

Sudah cukup mandat yang mereka perolehi selama 53 tahun menyebabkan anak cucu kita terutamanya yang akan menanggung beban.

Kegigihan PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat yang bekerja dalam pilihan raya  tanpa diupah adalah merupakan satu kekuatan, berbanding dengan Umno. Mereka hanya menumpang tuah jentera kerajaan, jika diharapkan jentera Umno maka sudah lama Umno akan berkubur.


Sumber: Harakah

KTM Nafi Pembinaan Landasan Berkembar Elektrik Punca Banjir

Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad hari ini menafikan dakwaan bahawa pembinaan landasan berkembar elektrik di beberapa daerah di Kedah sebagai punca kejadian banjir besar di negeri itu.

KTM Berhad berkata kejadian bencana alam itu tidak langsung disumbangkan oleh Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar yang sedang dijalankan kerana bencana alam serupa turut melanda negara jiran iaitu Thailand serta Kelantan dan Terengganu.

Dari aspek sistem saliran, pemaju projek iaitu syarikat MMC-Gamuda Joint Venture telah melaksanakannya dan struktur yang dibina adalah mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kata KTM Berhad dalam satu kenyataan di sini.

Kerajaan PAS Kedah hari ini mendakwa banjir buruk yang kini melanda negeri itu adalah disebabkan kerja pembinaan landasan kereta api berkembar yang sedang berjalan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menggesa kontraktor landasan kereta api berkembar itu, MMC-Gamuda Joint Venture (Gamuda) membesarkan saliran air supaya air banjir dapat disalirkan ke sungai dengan cepat.

KTM Berhad berkata banjir besar yang melanda Kedah dan Perlis adalah berpunca daripada cuaca buruk luar biasa dan pembukaan empangan yang mana paras airnya berada di tahap bahaya untuk menaikkan paras air sedia ada.

Syarikat pengangkutan itu turut menanggung kerugian mencecah jutaan ringgit apabila bencana banjir turut menyebabkan berlakunya kerosakan pada struktur dan landasan baru yang sedang dibina.

"Projek yang bermula pada hujung 2008 itu, kini telah mencapai kemajuan 54 peratus secara keseluruhannya, namun disebabkan kejadian banjir luar biasa itu, kerja-kerja projek juga telah tertangguh," kata kenyataan itu.

Perkhidmatan tren KTM Berhad juga terjejas apabila sebanyak 20 perkhidmatan tren menuju ke arah utara terpaksa dibatalkan berikutan bencana alam itu.


Sumber: Bernama

Kerajaan Kedah Dakwa Projek Landasan Berkembar Punca Banjir Buruk

erajaan PAS Kedah mendakwa banjir buruk yang kini melanda negeri ini adalah disebabkan kerja pembinaan landasan kereta api berkembar yang sedang berjalan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menggesa kontraktor landasan kereta api berkembar itu, MMC-Gamuda Joint Venture (Gamuda) membesarkan saliran air supaya air banjir dapat disalirkan ke sungai dengan cepat.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata semasa banjir besar lima tahun lepas, kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dan beberapa kawasan lain tidak pernah ditenggelami air, tetapi sejak pembinaan landasan kereta api berkembar, banjir yang melanda Kedah semakin buruk.

"Kami panggil mereka (Gamuda) datang mesyuarat dengan kita hari ini, tetapi mereka tidak datang. Jika mereka tidak datang juga, saya akan arahkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membuka laluan air itu dengan segera.

"Kami mahu berbincang dengan pihak Gamuda tentang perkara ini supaya masalah ini dapat diatasi dengan segera," katanya selepas mesyuarat perkembangan banjir di Wisma Darulaman pada hari Jumaat.

Dalam perkembangan lain, Azizan berkata bekalan air di daerah Padang Terap, Kota Setar (dari Kepala Batas hingga pusat bandar, Jalan Putra, Gunung, Jalan Langgar dan Hutan Kampung) dan Kubang Pasu (Tanah Merah, Taman Kepala Batas, Jalan Kampung Naga dan Taman Tabung Haji) telah pulih sepenuhnya.

"Bagi daerah Pokok Sena, bekalan air bertambah baik. Petang ini, kita akan menerima 10 lori tangki dan sebuah lori besar air minuman dari Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan sembilan lori tangki daripada Lembaga Air Perak," katanya.

Beliau berkata Syarikat Air Darul Aman telah menyediakan 89 tangki air kepada orang ramai.

Azizan berkata beliau amat berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh pejabat daerah, bomba, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, pasukan sukarela, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi kerajaan pusat dan negeri dalam menangani bencana itu.

Beliau berkata kerajaan negeri telah menambah peruntukan bencana sebanyak RM300,000 lagi menjadikan jumlah keseluruhan yang diperuntukkan ialah RM600,000 dan jumlah itu akan ditambah lagi jika keadaan memerlukan.


Sumber: Bernama

Alor Setar Semakin Tenggelam, Mangsa Banjir Di Kedah Bertambah

Keadaan banjir di Kedah bertambah buruk dengan jumlah mereka yang dipindahkan kini meningkat kepada 39,785 orang dan hampir semua kawasan di bandar raya ini kini dinaiki air.

Sehingga pukul 4 petang, kira-kira 80 peratus kawasan di bandar raya Alor Setar telah digenangi air.

Jumlah penduduk yang dipindahkan di daerah Kota Setar dan Pendang menunjukkan peningkatan manakala Kubang Pasu masih dengan jumlah yang sama dan daerah Padang Terap serta Pokok Sena menunjukkan penurunan.

Di Kota Setar, jumlah mangsa banjir kini 16,376 orang daripada 4,047 keluarga, di Pendang 244 orang daripada 62 keluarga, di Kubang Pasu 21,111 orang melibatkan 5,740 keluarga, di Padang Terap berkurangan kepada 354 orang daripada 92 keluarga dan daerah Pokok Sena 1,738 orang melibatkan 307 keluarga.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata sehingga kini, 100 pusat penempatan mangsa banjir dibuka dan daripada jumlah itu, 50 adalah di Kubang Pasu, lapan di Padang Terap, 34 di Kota Setar, tujuh di Pokok Sena dan satu di Pendang.

Beliau berkata keadaan di Padang Terap semakin pulih apabila 303 orang daripada 112 keluarga dibenar pulang ke rumah masing-masing manakala di Pokok Sena 29 orang daripada enam keluarga dibenarkan pulang.

Tinjauan Bernama di sekitar bandar raya Alor Setar yang sudah 80 peratus digenangi air mendapati banyak jalan yang tidak dapat dilalui oleh kenderaan ringan berikutan air yang naik secara mendadak.

Sementara itu tinjauan di sekitar pekan Jitra di daerah Kubang Pasu mendapati keadaan banjir semakin surut dan ada kawasan yang telah pulih sepenuhnya, namun mangsa masih belum boleh pulang ke rumah masing-masing kerana keadaan terlalu kotor.

Akibat banjir yang melanda sejak 1 Nov lepas, daerah berkenaan juga terputus hubungan dengan daerah Kota Setar apabila jalan-jalan utama iaitu jalan Hutan Kampung-Alor Setar dan Kepala Batas-Alor Setar ditenggelami air dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Sementara itu, tujuh jalan di Kota Setar ditutup untuk semua kenderaan manakala 21 jalan di tiga daerah ditutup kepada kenderaan ringan.

Jalan yang ditutup kepada semua kenderaan ialah di Kota Setar iaitu Jalan Hutan Kampung-Kepala batas; Jalan Langgar-Simpang Hutan Kampung; Jalan Sultanah; Jalan Alor Setar-Kangar; Jalan Alor Setar-Kepala Batas; Jalan Alor Janggus-Gunung Keriang; dan Jalan Gunung Keriang-Sungai Korok.

Jalan-jalan yang dinaiki air dan ditutup kepada kenderaan ringan ialah di Kota Setar iaitu Jalan Kuala Sungai-Sungai Baru; Jalan Alor Setar-Kepala Batas; Jalan Tambang Badak; Jalan Stadium; Lebuhraya Sultanah Bahiyah; Jalan Langgar-Pendang; Jalan Alor Setar-Pokok Sena; Jalan Alor Setar-Pokok Sena-Kuala Nerang; Jalan Pantai Johor-Gunung Keriang; dan Jalan Suka Menanti-Gunung Keriang.

Di daerah Kubang Pasu pula ialah Jalan Titi Besi-Kampung Pasu; Jalan Jitra-Kelubi; Jalan Tunjang-Kampung Teluk Malik-Kampung Naga; Jalan Jitra-Sungai Korok; Jalan Kepala Batas-Kemuning; Jalan Tanah Merah-Wang Tepus; Jalan Batu 9 Jitra-Alor Rambai-Kepala Batas dan Jalan Alor Mengkudu-Tok Keling.

Di Pokok Sena ialah Jalan Lengkuas-Kampung Derang; Batu 11 Jalan Pokok Sena; dan Jalan Bukit Payung-Kampung Cina.


Sumber: Bernama

Saman Ekor Aniaya Pengguna

Pelaksanaan saman ekor dilihat tidak mampu meningkatkan kesedaran pengguna untuk mematuhi peraturan lalu lintas, sebaliknya hanya membuatkan pengguna merasakan diri mereka dianiaya.

Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr. Ahmad Zaki Ismail berpendapat, saman ekor adalah saman yang tidak adil kerana dikeluarkan tanpa pengetahuan pengguna.

“Saman seharusnya dibuat secara terang-terangan dan dikeluarkan di tempat kejadian, bukannya mengambil kesalahan orang lain secara sorok-sorok, kemudian dihantar melalui pos.

“Saman yang diambil dengan cara menyorok ini dilihat seperti hendak menganiaya, bukannya memberikan kesedaran kepada pengguna dan ini sangat tidak adil,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Akhbar semalam melaporkan bahawa kerajaan tidak bercadang menghentikan tindakan mengeluarkan saman ekor kepada pesalah trafik.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, saman ekor adalah notis saman yang dikeluarkan oleh mahkamah kepada pesalah jalan raya yang ingkar terhadap Notis POL 170A yang dikeluarkan ke atas mereka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Sumber: Kosmo

Isu Tanah Antara Faktor PAS Terjejas Di Galas

PAS melihat masalah tanah antara faktor utama menyebabkan parti itu gagal mempertahankan Dun Galas pada pilihan raya kecil semalam.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, masalah tanah masih menjadi rungutan sebahagian rakyat dan mereka juga terpengaruh dengan dakyah yang disebarkan pihak lawan.

“Usaha kerajaan negeri menyelesaikan masalah tanah tidak difahami mereka. Sedangkan usaha ke arah menyelesaikan hak milik sedang dilakukan dan tentunya mengambil masa untuk diselesaikan.

“Keadaan menjadi tambah keliru kerana ada pihak membangkitkan pelbagai isu mengenai tanah biar pun penjelasannya mengenainya sudah diberi kerajaan negeri,” katanya di sini, malam tadi.

Selain itu juga faktor beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), tentera dan  Rela yang berkampung di penempatan Orang Asal sejak 15 Oktober lalu menyebabkan pergerakan penduduk tempatan terbatas.

Malah katanya, agensi kerajaan pusat terbabit mengawal ketat pergerakan pihak lain yang memasuki penempatan berkenaan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob sebelum ini memberitahu ketika kerajaan negeri menganjurkan program penyampaian surat peserta penempatan berkelompok kepada penduduk Orang Asal, agensi kerajaan terbabit membawa keluar sebahagian penduduk mengelakkan mereka hadir ke program terbabit.

Abdul Halim yang juga anggota parlimen Pengkalan Chepa berkata, kemerosotan juga berlaku terhadap pengundi Cina terutamanya di saluran pengundi muda.

Bagaimanapun katanya, pengundi di saluran satu dan dua masih kekal bersama PAS.
Manakala pengundi atas pagar pula dilihat lebih cenderung kepada BN sehingga menyebabkan banyak undi PAS terjejas.

“Isu pembangunan Ladang Rakyat juga menjadi isu di kalangan rakyat di mana ramai yang masih keliru,” katanya.


Sumber: Harakah

Mayat Mangsa Lemas Ditemui Di Terusan Arau

Mayat seorang pemuda yang terjatuh dalam Terusan Arau di Simpang Empat dekat sini Rabu lepas, ditemui tersangkut pada sebuah jambatan di Sungai Baru dekat sini hari ini.

Mayat Muhammad Nurul Afiq Mohd Rozaidi, 21, ditemui orang ramai pukul 8.45 pagi kira-kira dua kilometer dari tempat dia terjatuh dalam terusan itu.

Ketua Polis Daerah Kangar Supt Abdul Rahman Noordin berkata semasa ditemui, mayat mangsa yang berasal dari Simpang Empat itu telah kembung.

Mangsa dilaporkan terjatuh dalam terusan itu kira-kira 1.05 tengah hari Rabu lepas ketika sedang menunggang basikal di pinggir terusan dan dihanyutkan arus deras.

Usaha mencari dan menyelamat oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat serta Pasukan SMART sebaik kejadian juga gagal kerana arus kuat namun kawasan kejadian itu tidak dilanda banjir.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut.


Sumber: Bernama

Merapi Meletus Lagi, Ragut Lebih Banyak Korban

Angka korban letusan Gunung Merapi meningkat hampir sekali ganda kepada 79 selepas awan gas panas melanda perkampungan di pergunungan itu.

Jurucakap hospital, Heru Nugroho, berkata 35 mayat dibawa ke situ selepas insiden itu.

Lebih daripada 65 yang lain cedera, kebanyakannya parah.

Lelaki dengan muka diselaputi abu berduyun-duyun menuruni Gunung Merapi dengan motosikal, diikuti beberapa lori yang membawa wanita dan kanak-kanak yang menangis, berikutan letusan terbaru sebelum tengah malam tadi.

Askar membantu mengeluarkan mayat dari Bronggang, kampung yang terjejas teruk yang terletak 15 kilometer dari kawah Gunung Merapi, ke rumah mayat hospital.

Tidak dapat dipastikan kenapa keluarga yang tinggal di dalam "zon bahaya" Gunung Merapi tidak dipindahkan.


Sumber: Berita Harian

Bas Ekspres Terbabas, Seorang Maut Dua Parah

Seorang maut, manakala dua cedera parah selepas bas ekspres yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik ke dalam sebuah tali air di Kampung Sungai Miang, di Kilometer 20 Jalan Pekan-Nenasi, malam ini.

Pada kejadian 8.15 malam ini, bas ekspres Transnasional dari Johor Baharu menuju ke Kuantan, dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas di tempat kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Ismail Natayudden Hamdan, 25, akibat cedera parah di kepala dan badan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat, manakala dua mangsa yang parah, yang masih belum diketahui identiti itu turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini, malam ini.

Menurut Yahaya, bas berkenaan membawa 33 penumpang: "Penumpang lain dan pemandu bas terbabit tidak mengalami kecederaan," katanya.

Beliau berkata, pemandu bas terbabit kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1985.

Sementara itu di BENTONG, tiga maut, manakala tiga lagi cedera parah dalam satu kemalangan di Km3 Jalan Mempaga–Lakum kira-kira jam 10 pagi tadi yang membabitkan sebuah kereta Proton Wira dan sebuah kereta Mercedes.

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman, mangsa yang maut ialah pemandu kereta Proton Wira, Mohd Zaihidi Zainal, 24, dari Felda Mempaga Satu; penumpang belakang kereta Wira bahagian kanan, Bakri Ibrahim, 28, beralamat di Jengka 12 dan penumpang hadapan kereta Mercedes, Kok Cheong Aik, 66, beralamat di Kuantan.

"Ketika kejadian, kereta Proton Wira dari arah Mempaga ke Lakum itu dikatakan bertembung dengan kereta Mercedes dari arah bertentangan, punca kejadian akibat pertembungan kedua-dua buah kereta itu masih disiasat," katanya.

Beliau berkata, pemandu kereta Mercedes dan dua lagi penumpang kereta Proton Wira terbabit cedera parah dan kini dirawat di Hospital Bentong.


Sumber: Metro

Sekumpulan Singa Baham Pelancong Di Zimbabwe

Sekumpulan singa membaham seorang pelancong apabila beliau mandi di bawah pokok ketika senja di sebuah kem hutan simpan yang tidak berpagar.

Peter Evershed, ahli perniagaan Zimbabwe berusia 59 tahun, diserang lima singa di kem Chitake Springs, kawasan memerhati hidupan liar berhampiran hutan simpan Mana Pools.

Ketua Pasukan Petugas Perlindungan Alam Zimbabwe, Johnny Rodrigues, berkata Evershed adalah yang terakhir dalam kumpulan ahli keluarga dan kawannya yang mandi ketika itu.

"Mereka terdengar Evershed menjerit dan meluru ke tempat mandi tetapi beliau sudah mati akibat luka besar di leher," katanya.


Sumber: Berita Harian

PAS Ucap Terima Kasih Pada Petugas Pakatan

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz mengucapkan terima kasih kepada para petugas Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP dari seluruh negara yang membantu di dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Galas dan Parlimen Batu Sapi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menerima kekalahan calon PAS di Galas dan PKR di Batu Sapi.

“Kita akui ada kelemahan dan kita sedia baiki kelemahan dan kesilapan,” tulisnya di laman twitter.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada BN yang memenangi kedua-dua PRK itu.

“Bolehlah buat pilihan raya awal untuk dapat mandat baru,” ujarnya.
Mahfuz seterusnya menggesa para petugas Pakatan Rakyat supaya meneruskan perjuangan.

"Jadikan kekalahan Batu Sapi dan Galas seperti di Ijok dan bangkit semula pada pilihan raya 2008 dengan syarat perbaiki kelemahan dan perbetul kesilapan kita," ujarnya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi yang terus memberikan kepercayaan kepada PAS dan PKR di dalam kedua-dua PRK tersebut.

“Tahniah rakyat,” ujarnya.

Beliau turut menukilkan serangkap pantun berhubung keputusan kedua-dua PRK itu.
Udang galah dibuat kari,
Dicicah ketupat daun palas,
BN tak kalah di Batu Sapi,
PAS tak menang di Galas.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghargai kegigihan jentera parti dan rakan-rakan Pakatan Rakyat bagi kedua-dua PRK itu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menambah, cabaran untuk ditingkat dalam usaha meneruskan agenda reformasi.

Bagi Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan, kekalahan di dalam PRK jangan dibaca sebagai kalah berjuang.

“Selama kita bersama kebenaran, ia adalah kemenangan. Sabar harungi medan dengan kekalkan prinsip dan akhlak,” ujarnya.

Sambil menyeru petugas parti meneruskan dakwah dan penerangan, beliau menambah, tiada kemenangan percuma buat Gerakan Islam, justeru politik atau siasah pilihan raya hanyalah wasilah atau alat.


Pada PRK Galas, BN menang dengan majoriti 1,190 undi.
Calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed mendapat 4,134 undi sementara calon BN, Abdul Aziz Yusoff memperoleh 5,324 undi di mana 132 undi rosak.

Jumlah pengundi yang membuang undi adalah 9,555 atau 83 peratus.

Keputusan itu diumumkan pegawai pengurus PRK itu, Wan Mustapha Wan Ab Hamid di Dewan Sivik Gua Musang.

Bagi PKR Parlimen Batu Sapi, BN mengekalkan kerusi itu apabila calonnya dari PBS, Datin Linda Tsen yang mendapat 9,773 undi menang dengan majoriti 6,359 undi.

Calon PKR, Ansari Abdullah memperoleh 3,414 undi dan calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengutip 2,013 undi.

Hanya 15,774 pengundi atau 61.47 peratus keluar mengundi di Batu Sapi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohamad Hamsan Awang Supain di Dewan Komuniti Sandakan.


Sumber: Harakah

Banjir Di Perlis Semakin Pulih, 11 Pusat Pemindahan Ditutup

Banjir di Perlis mulai surut di kebanyakan kawasan di utara negeri ini dengan 1,375 daripada 15,159 mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat berkata 11 pusat pemindahan ditutup setakat ini namun 44 pusat masih beroperasi.

Angka terkini mangsa yang masih ditempatkan di pusat pemindahan adalah 13,784 orang daripada 2,530 keluarga.

Paras air di bandar Kangar juga semakin surut tetapi beberapa batang jalan di bandar ini belum boleh dilalui kenderaan ringan.


Sumber: Bernama

Hampir 40,000 Mangsa Banjir Di Kedah Dipindahkan

Jumlah penduduk yang dipindahkan kerana banjir di Kedah meningkat kepada 39,512 orang pagi ini berbanding 32,990 orang malam tadi berikutan peningkatan mendadak mangsa banjir di Kubang Pasu dan Alor Setar.

Bagaimanapun, semakin ramai mangsa banjir di Daerah Padang Terap yang dibenarkan pulang.

Mangsa di tiga daerah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar dan Pendang terus meningkat.

Di Kubang Pasu, jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat kepada 21,111 orang melibatkan 5,740 keluarga manakala di daerah Kota Setar, seramai 15,736 orang (4,047 keluarga) dan di daerah Pendang pula 241 orang (60 keluarga).

Mangsa banjir di Padang Terap berkurangan kepada 657 orang berbanding 2,279 orang malam tadi melibatkan 204 keluarga dan daerah Pokok Sena juga menunjukkan penurunan daripada 1,868 orang kepada 1,767 orang melibatkan 313 keluarga.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata sehingga pukul 8 pagi ini, 100 pusat penempatan mangsa banjir dibuka dan daripada jumlah itu, 50 adalah di Kubang Pasu, 10 di Padang Terap, 32 di Kota Setar, tujuh di Pokok Sena dan satu di Pendang.

Katanya keadaan di Padang Terap bertambah baik dengan 2,722 orang daripada 339 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat manakala 10 pusat pemindahan ditutup.

Tinjauan Bernama di kawasan sekitar bandaraya Alor Setar mendapati semakin banyak jalan raya dan premis kerajaan digenangi air dan semakin banyak kediaman berdepan dengan gangguan bekalan air termasuk terputus bekalan.

Kawasan perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan juga pejabat Bernama Biro Kedah, kedua-duanya di Jalan Stadium, mula digenangi air.


Sumber: Bernama

Najib Dimasukkan Ke HKL Untuk Pemeriksaan Lanjut

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur di sini Khamis malam untuk pemeriksaan lanjut selepas beliau mengalami rasa tidak selesa dalam perut, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat Khamis malam bahawa endoskopi telah dilakukan ke atas Najib dan ia menunjukkan ulser dan gastritis ringan.

"Beliau telah mula diberi rawatan dan keadaannya beransur baik," kata Dr Mohd Ismail, dan menambah perdana menteri dijangka berada di hospital beberapa hari lagi.


Sumber: Bernama

Batu Sapi, Galas milik BN

Barisan Nasional hari ini berjaya mempertahankan kerusi parlimen Batu Sapi miliknya dan berjaya merampas kerusi DUN Galas dari PAS.
Di Batu Sapi, calon BN dari parti PBS, Datin Linda Tsen mendapat 9,773 undi dan berjaya mengekalkan kerusi yang dimilik mendiang suaminya, Datuk Edmund Chong.
Calon SAPP yang juga presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee hanya mendapat 2,031 manakala calon PKR, Ansari Abdullah pula mendapat 3,414 undi.

Majoriti yang diperolehi oleh BN adalah 6,359 undi. Undi rosak pula adalah 372.
Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohamad Hamsan Awang Supain di Dewan Komuniti Sandakan.
Keputusan kali ini mencerminkan perkembangan yang hampir sama pada pilihan raya umun 2008 yang lalu. Pada pilihan raya itu, suami Tsen, mendiang Edmund Chong mendapat 9,479 undi berbanding calon Bebas, Chong Kwong Ming, 5,771.

Pada pilihan raya kali ini, jika jumlah undi pembangkang - SAPP dan PKR digabungkan, jumlahnya adalah 5,288 dan masih tidak mampu mencabar kedudukan BN.
Meskipun kemenangan Tsen bukan sesuatu yang memeranjatkan, tetapi dakwaan PKR bahawa ia mampu memberi saingan lebih baik berbanding SAPP ternyata betul.

Namun, sekalipun jika ia pertandingan satu lawan satu, Pakatan Rakyat memerlukan strategi yang lebih mantap sebelum berangan-angan untuk ke Putrajaya.

Manakala itu bagi kerusi Galas pula, BN menang dengan majoriti 1,190 undi.
PAS hanya mampu mendapat 4,134 undi, berbanding BN yang mengaut 5,324 undi.
Terdapat 132 undi rosak pada pilihan raya kali ini.
Jumlah yang keluar mengundi hari ini ialah 83 peratus atau 9,555 orang.
Kemenangan BN itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus pilihan raya kecil DUN Galas Wan Mustapha Wan Ab Hamid di Dewan Sivik Gua Musang.
Pada pilihan raya ini BN diwakili oleh Abdul Aziz Yusof manakala PAS meletakkan Dr Zulkefli Mohamad sebagai calonnya.
Kerusi Galas memang sukar diramal sejak hari pertama kempen bermula. Pada pilihan raya umum 2008 yang lalu, calon PAS berjaya merampas kerusi itu melalui Allahyarham Chek Hashim Sulaima dengan hanya majoriti 646 undi.
Strategi BN meletakkan pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah ternyata tepat dan memberi kesan maksimum.

Putera raja yang juga adalah ahli parlimen Gua Musang, di mana kerusi Galas terletak dikatakan masih disanjung oleh masyarakat di Kelantan, termasuk di kalangan Orang Asli yang merupakan kira-kira 16 peratus daripada jumlah pengundi.

Selain itu, strategi BN mempolitikkan kempen 1Malaysia di kalangan masyarakat Cina juga dikatakan berjaya mencuri tumpuan masyarakat itu. Bilangan pengundi masyarakat Cina dikatakan memihak semula kepada BN walaupun jumlah itu tidak menyeluruh.


Sumber: MalaysiaKini

Banjir di Kedah, Perlis kian buruk

Sebahagian besar bandar raya Alor Setar ditenggelami banjir manakala beberapa batang jalan utama ditutup kepada semua kenderaan semalam.


Banjir yang melanda Kedah dan Perlis semakin buruk apabila lebih 40,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan.

Angka tersebut lebih sekali ganda daripada angka pemindahan yang dicatatkan dalam banjir besar yang melanda pada tahun 2005 apabila 21,000 penduduk dipindahkan.

Di Kedah, jumlah mangsa meningkat kepada lebih 28,569 orang berbanding kira-kira 25,000 kelmarin ekoran keadaan banjir yang semakin buruk di empat daerah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Pendang manakala keadaan banjir di Padang Terap semakin baik.

Di Kubang Pasu, seramai 15,672 penduduk daripada 4,347 keluarga dipindahkan manakala di Padang Terap, 2,737 orang masih berada di pusat pemindahan.

Banjir di Kota Setar melibatkan 8,184 penduduk, Pokok Sena seramai 1,281 orang dan daerah Pendang merekodkan 158 penduduk yang dipindahkan.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata, sehingga pukul 12 tengah hari semalam, sebanyak 103 pusat penempatan mangsa banjir dibuka dan daripada jumlah itu, 46 di Kubang Pasu, 35 di Padang Terap, 15 di Kota Setar, tujuh di Pokok Sena dan satu di Pendang.


Sumber: Kosmo