Sunday, November 7, 2010

Banjir: BN berlakon, tuduh melulu, kata PAS

Kerajaan negeri Kedah telah memperuntukkan hampir RM1 juta untuk membantu mangsa banjir di samping RM500,000 daripada wang zakat yang diumumkan Sultan Kedah semalam.

Exco kerajaan negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, soal kerajaan negeri tidak membantu mangsa banjir tidak berbangkit langsung di negeri ini.

"Yang menjadi masalah adalah media yang tidak membuat liputan untuk kerajaan negeri," kata beliau.

Kerajaan negeri, katanya, telah menubuhkan Bilik Gerakan Banjir peringkat negeri dan daerah.

Di peringkat negeri ia diketuai oleh Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri manakala di daerah di ketuai Pegawai Daerah.

"Memandangkan SUK di Mekah, Timbalan SUK, Datuk Haji Ahmad Mat Isa yang ketuai operasi ini," kata Phahrolrazi kepada Harakahdaily.

Selain jentera kerajaan, NGO dan parti politik khasnya PAS dan Pakatan Rakyat juga terlibat.

"Dakwaan Shahrizat Jabatan Kebajikan Masyarakat agensi pusat tak betul. Pengarahnya staff kerajaan negeri. Ia agensi bersama," katanya.

Beliau mengaku jabatan itu paling banyak membantu magsa di samping kerajaan tempatan, polis, bomba dan juga jabatan kesihatan dan pelajaran.

Hari ini, kata Phahrolrazi, pihaknya bersama JKR akan bersama syarikat yang menjaga konsesi trek berkembar, Gamuda, akan menyiasat kalau projek itu menyebabkan laluan banjir tersekat.
Tuduhan melulu
Dalam perkembangan berkaitan, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata dakwaan Kerajaan Persekutuan bahawa Kerajaan negeri Kedah melepaskan tanggungjawab untuk membantu mangsa banjir di negeri itu adalah tuduhan melulu.

Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata, sejak dari awal banjir melanda negeri itu, kerajaan negeri sudah mengambil tindakan membantu mangsa banjir termasuk memastikan pusat penempatan sementara mencukupi.

"Tuduhan mengatakan kerajaan Negeri Kedah tak ambil tahu masalah mangsa banjir satu tuduhan yang sangat melulu, yang dibuat oleh BN.

"Kerajaan negeri menyediakan bantuan untuk diagihkan kepada mangsa banjir termasuk sumbangan daripada PAS sendiri, wakil-wakil rakyat dan sumbangan orang ramai," kata Mahfuz.
Ujarnya, media hanya membuat laporan berdasarkan kenyataaan pempimpin Umno, tanpa mengikuti sendiri perkembangan dan usaha yang dilakukan kerajaan negeri.

"Media juga memberikan laporan yang tak betul. Kata tak ada pemimpin Pakatan Rakyat yang turun dan sebagainya. Media tak pernah pun ikut kita. Kita pun tak fikir waktu banjir ini nak panggil media, tak sempat nak tunggu media datang untuk kita redah kawasan banjir.
"Kalau nak tunggu media datang baru nak pergi kawasan banjir, bermasalah juga. Mana nak jaga orang media, mana nak bawa bantuan, bot pun tak cukup.

"Kita tak ada masa nak ambil gambar, nak berlakon, jadi kita pergi semata-mata untuk bagi bantuan. Sharizat datang sehari dua sahaja, bukan pergi semua kawasan pun," katanya.
Semalam, Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS supaya tidak melepaskan tanggungjawab untuk membantu mangsa-mangsa banjir di negeri itu kepada kerajaan pusat semata-mata.

Sebaliknya, kata beliau kerajaan negeri perlu meningkatkan koordinasi dalam usaha melicinkan penyaluran pelbagai bantuan termasuk bekalan air bersih kepada mangsa banjir.

"Kerajaan negeri tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab. Dia tidak boleh serah kepada (kerajaan) pusat. Jikalau beban besar, kerajaan negeri perlu bersama melaksanakan tanggungjawab.

"Bidang kuasa negeri seperti bekalan air bersih terletak dalam bidang kuasa negeri," katanya.
Semakin buruk
Sementara itu, keadaan banjir di daerah Kota Setar semakin buruk dengan lebih ramai penduduk di daerah itu dipindahkan sehingga petang ini, namun jumlah mangsa banjir di Kedah keseluruhannya berkurangan.

Jumlah mangsa banjir di daerah Kubang Pasu tidak berubah manakala di daerah Pokok Sena dan Pendang semakin berkurangan.
Sehingga jam 4 petang ini, seramai 31,712 orang daripada 7,856 keluarga masih berada di 83 pusat pemindahan di empat daerah itu. Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negara ketika dihubungi berkata, di daerah Kota Setar, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat kepada 21,116 orang dengan jumlah keluarga 5,060 berbanding 21,058 orang pagi ini.

Bilangan mangsa di Kubang Pasu pula masih kekal 9,531 orang daripada 2,591 keluarga manakala jumlah mangsa di daerah Pokok Sena berkurangan kepada 1,003 orang daripada 143 keluarga dan di Pendang seramai 242 orang melibatkan 62 keluarga.

Beliau berkata, daripada 83 pusat pemindahan yang masih dibuka, 45 ialah di daerah Kota Setar, 34 di Kubang Pasu, tiga di Pokok Sena dan satu di Pendang.
Bekalan air hampir pulih

Sementera itu, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA), Datuk Adzmi Din, berkata sehingga kini 75 peratus loji bekalan air di Bukit Pinang telah beroperasi dan Sada sedang berusaha untuk membolehkan loji itu beroperasi 100 peratus.
"Kita jangkakan satu atau dua hari lagi loji akan pulih dan bekalan air dapat disalurkan ke semua kawasan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, 11 kawasan di daerah Kota Setar dan beberapa kawasan di daerah Pokok Sena belum mendapat bekalan air sepenuhnya manakala di Padang Terap, masalah bekalan air pulih sepenuhnya.

"Kami akan berusaha untuk pulihkan bekalan air ini secepat mungkin supaya semua penduduk mendapat bekalan air bersih dengan cepat," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Pelajaran Kedah berkata kira-kira 30 sekolah di daerah Kota Setar masih ditutup kerana dinaiki air dan ada juga yang dijadikan tempat penempatan banjir.

Jurucakap itu berkata, lapan sekolah di Kubang Pasu masih ditutup, empat daripadanya dijadikan pusat penempatan banjir dan empat lagi dinaiki air manakala di Padang Terap, semua sekolah telah dibuka seperti biasa.

Sehingga petang ini, hanya satu jalan yang masih ditutup kepada semua kenderaan iaitu Jalan Jitra-Sungai Korok manakala lima jalan di daerah Kota Setar dan dua jalan di daerah Kubang Pasu masih digenangi air, tetapi tidak ditutup kepada lalu lintas.

Sementara itu, KM28 Lebuhraya Utara Selatan ke utara dan selatan yang ditutup sebelum ini telah dibuka satu lorong ke utara dan satu lorong ke selatan.

Lapangan terbang dijangka beroperasi Sabtu depan

Dalam pada itu, lLpangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Kepala Batas di alor Setar dijangka kembali beroperasi paling awal pada Sabtu depan, kata Pengurusnya, Azmi Darus.

Beliau berkata, sebelum beroperasi, pihaknya perlu melakukan kerja pembersihan dengan teliti dan memastikan sistem lampu landasan dapat berfungsi dengan baik demi keselamatan pesawat.

"Pada masa ini 60 peratus air dalam kawasan landasan telah surut dan kami memerlukan sekurang-kurangnya lima hari lagi untuk memastikan landasan selamat digunakan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Azmi berkata, kawasan padang berhampiran landasan pula masih ditenggelami air sebanyak 50 peratus.

Lapangan terbang itu ditutup akibat banjir sejak Selasa lalu.

LTSAH mengendalikan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dari Alor Setar ke Kuala Lumpur sebanyak tiga kali sehari, AirAsia dari Alor Setar ke Kuala Lumpur (dua kali) dan FireFly dari Alor Setar ke Subang (dua kali).

Lapangan terbang yang mempunyai landasan sepanjang 2,745 meter dan 45 meter lebar itu terletak 13 kilometer dari Alor Setar dan boleh mengendalikan sehingga 800,000 penumpang setiap tahun.


Sumber: MalaysiaKini

Terbang ke Jawa bahayakan nyawa


ABU volkanik dari Gunung Merapi boleh membahayakan pesawat.


Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia membatalkan semua penerbangan ke Pulau Jawa meliputi Jakarta, Yogyakarta, Bandung dan Solo bermula semalam. Hanya penerbangan ke Surabaya yang terletak di timur pulau itu dibenarkan.

Keputusan itu dibuat setelah syarikat terbabit mendapati penerbangan ke pulau tersebut tidak lagi selamat dan boleh menyebabkan nahas kerana ruang udaranya dipenuhi dengan debu volkanik ekoran letusan Gunung Merapi sejak 26 Oktober lalu.

Tindakan yang sama turut diambil beberapa syarikat penerbangan antarabangsa lain antaranya Japan Airlines, Turkish Airlines, Singapore Airlines, Lufthansa, Sing Air, Tiger Airways, KLM, Emirates, Eva Airlines, Etihad, China Southern, Lion Air, Value Air dan Cathay Pasific.

Menurut Pengarah Operasi MAS, Kapten Azharuddin Osman, kesemua penerbangan itu dibatalkan sehingga keadaan kembali pulih seperti sedia kala.

“Ketika ini penerbangan yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Jakarta, Yogyakarta dan Bandung dibatal atau ditangguhkan bermula hari ini (semalam) sehingga keadaan pulih.

“MAS akan terus memantau ruang udara Indonesia untuk memastikan keselamatan operasi penerbangan untuk memasuki kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.


Sumber: Kosmo

Padah ganggu adik perempuan

ABDUL GHAFAR menunjukkan gambar Maung Sho yang dipercayai boleh membantu siasatan satu kes bunuh melibatkan rakannya di Pokok Sena, Alor Setar semalam.


Akibat tidak puas hati kerana adik perempuannya diganggu, seorang lelaki Mynmar dibunuh oleh rakan senegaranya di sebuah rumah kongsi di kilang bihun Jalan Kedondong, Pokok Sena di sini semalam.

Mangsa, Khaw Khaing Soe, 31, dipercayai dibunuh oleh Khin Maung Cho, 25, gara-gara mengganggu adik perempuan suspek yang baru sampai di negara ini 15 hari lalu.

Kesemua mereka bekerja di kilang bihun itu selama antara empat bulan hingga enam tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengganggu adik perempuan suspek sehingga menimbulkan kemarahan lelaki itu.

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di hadapan salah sebuah rumah kongsi dengan satu kesan tikaman pada dada.

“Mangsa yang bekerja di situ sejak enam tahun lalu merupakan ketua rumah kongsi itu. Suspek kini menghilangkan diri,” katanya di sini semalam.


Sumber: Kosmo

Banjir: Selangor sumbang RM100 ribu pada Kedah

Kerajaan Negeri Selangor meluluskan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Kerajaan Negeri Kedah bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.

Bantuan itu diluluskan dalam mesyuarat Exco baru-baru ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali kepada Harakahdaily.

"Saya sendiri akan menyerahkan RM40,000 di pejabat SUK Kedah tengah hari esok sebagai pendahuluan," katanya.

Sementara itu, PAS menganggap kenyataan Tan Sri Muhyidin Yasin satu fitnah apabila mengatakan kerajaan Kedah tidak buat apa-apa terhadap mangsa banjir di negeri itu.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, tinjauan beliau di kawasan mangsa banjir di mana petugas PAS dan kerajaan negeri bertungkus lumus membantu tanpa mengira ideologi parti dan agama.

Katanya, pihak kerajaan Kedah, pejabat daerah, pejabat zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan, pihak polis, bekerjasama dengan baik untuk membantu di pusat perpindahan.

Yayasan Amal dan Unit Amal yang dianggotai oleh ahli PAS bercekang mata membantu mangsa banjir dengan tulang empat kerat tanpa diupah.

“Memang ada pusat yang dikendalikan oleh ahli Umno, yang tidak perlulah kita hendak ceritakan bagaimana rungutan mangsa banjir kepada kami.

“Bukan masanya untuk kita hendak mendedahkan keburukan yang dilakukan oleh pelaku ahli Umno sewaktu mengendalikan pusat banjir,” katanya.

Sehubungan itu, katanya PAS menasihatkan Muhyiddin janganlah membuat fitnah dan mendengar taklimat daripada ketua cawangan Umno.

“Usahlah berpolitik ketika rakyat ditimpa dengan banjir. Air banjir tidak kenal apa anutan ideologi,” ujarnya.


Sumber: Harakah

Mengapa PAS kalah di Galas

Pilihan raya kecil (PRK) N.45 Galas sudah berlaku pada 4 November lalu. Kekosongan kerusi yang berlaku sejak 27 September 2010 sudah diisi oleh seorang wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN). Proses pengisiannya berlaku melalui pengundian yang tidak menyebelahi PAS. Kesannya membawa kemerosotan pencapaian PAS yang lebih teruk daripada pilihan raya kecil Manek Urai pada Julai 2009 yang lalu. Ia juga suatu gambaran penggunaan secara salah jentera Kerajaan Pusat di Galas yang mungkin bakal merebak dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Justeru itu, PAS yang mengawal sebuah ‘kerajaan kecil’ di Negeri menerima kekalahan di Galas. Mungkinkah ini punca sebenar kekalahan PAS dan Pakatan Rakyat di Galas?

Punca PAS kalah

Banyak jawapan yang boleh diberi oleh jentera kempen PAS semasa post-mortem bagi merasionalisasikan punca PAS kalah di Galas. Namun latar belakang punca kekalahan PAS pada asasnya perlu dilihat dahulu aspek kekuatan sebenar PAS di Galas. Pencapaian PAS tahun 1999 dan 2004 antara ukurannya.

Pada dua pilihan raya itu, kekuatan PAS hanya sekitar 36 peratus sahaja. Sedangkan pada pilihan raya umum 2008 PAS mencapai kemenangan pada paras 54 peratus.  Berlaku penambahan peratus sokongan kepada PAS sebanyak 18 peratus. Apakah punca kemenangan itu?

Banyak pihak bersetuju, ia berlaku atas faktor calon sebagai peribadi yang mewakili PAS pada pilihan raya umum 2008 itu. Tokohnya ialah Arwah Che Hashim, seorang yang popular berkhidmat kepada rakyat dan diterima baik oleh semua pihak termasuk masyarakat Cina dan Orang Asli. Khidmatnya bermula sebaik sahaja beliau kalah dalam pilihan raya umm 2004. Maka tidak harianlah beliau berupaya menang ‘terkejut’ apabila mengalahkan penyandang wakil rakyat Galas ketika itu, Saufi Deraman.

Namun kemenangan PAS pada 2008 itu bukan bergantung sepenuhnya kepada faktor calon. Malah suatu faktor yang lebih bersifat strategik ialah gerakan kepartian dan penyusunan gerak kerja pilihan raya PAS di Galas antara 2004 sehingga pilihan raya 2008. Di antaranya nilaian strategik yang berjaya dilakukan ialah pendaftaran pemilih baru kalangan warga Galas, termasuk yang berada di perantauan. Hasilnya, pihak PAS dikatakan berjaya mendaftar lebih 1,000 orang pengundi baru. Justeru undi PAS tahun 2004 (kira-kira 3,000 undi) dijadikan teras ukuran sokongan rakyat apabila dicampur dengan 1,000 pengundi baru, maka logiknya PAS mencapai 4,000 undi pada pilihan raya umum 2008. Natijahnya, PAS mencapai kemenangan di Galas pada 2008 adalah tepat pada angka sokongan sebanyak 4,399 undi atau pada undi popular 53.96 peratus (54 peratus). Sedangkan undi popular PAS pada 2004 hanya 36 peratus. Bermakna PAS berjaya mencapai lonjakan agak besar iaitu 18 peratus.

Sehubungan itu, sumbangan 1,000 pengundi baru yang berjaya didaftarkan sepanjang 2004-2008 itu adalah bernilai 22.73 peratus apabila dinisbahkan dengan undi yang dicapai 4,399 pada pilihan raya umum 2008. Namun, selepas 2008 didapati usaha mendaftar pengundi baru tidak berlaku secara baik. PAS dikatakan hanya berjaya mendaftar sekitar 500 orang sahaja. Sedangkan pihak BN dikatakan berjaya mendaftar kira-kira 1,000 pengundi baru. Maka secara matematiknya, pihak BN sudah berjaya menyeimbangkan nilai undi yang dicapai tahun 2008 yang hanya kalah sebanyak 646 undi pada 2008. Justeru itu, semasa pilihan raya kecil Galas ini kekuatan PAS dan BN berada pada paras 50:50 dan pihak BN hanya memerlukan sedikit tambahan undi ke arah meraih majoriti.

Di atas rasionalisasi strategik tersebut, adalah amat mudah bagi BN meraih tambahan undi. Pendekatan rasional BN tidak lain ialah dengan cara memfokuskan faktor kekuatan dan peluang bagi BN meraih sokongan undi tambahan. Faktor kekuatan BN adalah jentera Kerajaan Pusat dan peluang bagi BN ialah pengundi Orang Asli dan pengundi terapung kalangan orang Melayu dan Cina. Pilihan raya kecil Galas kali ini jelas menyaksikan nilai rasionalisasi BN berjaya menggunakan sepenuhnya kekuatan jentera Kerajaan Pusat sekali gus berupaya meraih tambahan undi baru kalangan Orang Asli dan pengundi terapung orang Melayu dan Cina. Logiknya, inilah punca kekalahan PAS.

Meskipun diketahui PAS turut berusaha melakukan pendekatan terbaik bagi memenangi hati Orang Asli dan sejumlah pengundi terapung. Apa yang jelas, jentera kempen PAS hanya berjaya mempertahankan jumlah undi yang dicapai pada 2008 sekitar 4,000 undi. Sedangkan pencapaian BN melebih 5,000 undi adalah disumbangkan oleh peningkatan undi di semua saluran mengundi.

Keputusan pilihan paya kecil (2010)

Walau bagaimanapun, pilihan raya kecil kali ini menyaksikan PAS mendapat 4,134 undi berbanding BN memndapat 5,324 undi. Maka BN ialah 1,190 undi. Pilihan raya kali ini pula menyaksikan 83 peratus atau 9,950 keluar mengundi dan 132 undi rosak.

Menariknya daripada trend pengundian kali ini ialah tingginya keluar mengundi seperti mana juga pilihan raya umum 2008. Hal ini juga mempunyai penilaian politik tersendiri dalam konteks menjawab kenapa PAS kalah pada pilihan raya kecil Galas kali ini. Antara yang jelas adalah penggunaan jentera Kerajaan Pusat, khasnya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia yang berjaya memunggah, mengumpul dan menjamu pengundi Orang Asli secara teratur sejak awal sebaik sahaja gendang pilihan raya dipalu.

Analisis mendapati jumlah keluar mengundi kelompok Orang Asli meningkat agak besar, 7.73 peratus, iaitu daripada 77.79 peratus (2008) kepada 85.52 peratus (2010). Sedangkan di semua peti undi bukan Orang Asli peningkatan agak kecil hanya 0.50 peratus, iaitu daripada 81.05 peratus (2008) kepada 81.55 peratus (2010). Menjadikan peningkatan keseluruhan keluar mengundi sebanyak 1.65 peratus, iaitu daripada 80.57 peratus (2008) kepada 82.22 peratus (2010).

Faktor agensi kerajaan pusat

Melihat kepada sosioekonomi di Galas adalah berada dalam situasi pesat membangun dengan penduduknya sekitar 37,600 orang. Ekonomi yang berasaskan ekonomi tradisi (perladangan, perkebunan, pembalakan, perlombongan dan perniagaan) membolehkan perkhidmatan agensi dan jabatan Kerajaan Pusat berperanan secara langsung menguruskan sosioekonomi rakyat Galas. Paling berkesan ialah agensi yang mewakili Kerajaan Pusat - Lembaga  Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) serta Jabatan Hal Ehwal Orang Asal Malaysia (JHEOA).
Istimewanya Tengku Razaleigh dalam mencipta kemenangan semula BN ialah mengarahkan kesemua agensi Kerajaan Pusat sebagai agen BN. Kesan daripada peranan agensi Kerajaan Pusat telah banyak melakukan pendekatan pengundi kerana semua agensi tersebut memiliki peralatan cukup bagi membujuk dan menarik sokongan politik untuk manfaat calon BN.

Menggunakan kekuatan agensi seperti Risda telah mampu menguasai semula minda ekonomi politik pengundi Cina di Kampung Pulai yang rata-ratanya adalah pekebun getah. Demikian pula Kesedar telah mengumumkan perumahan rakyat bernilai RM180 juta dan JHEOA membuat kurungan khas (menjamu) pengundi Orang Asli sebelum mereka dihantar ke pusat mengundi. Sementara agensi seperti jabatan KEMAS, Penerangan, Pembangunan Wanita, RELA dan tidak ketinggalan Jabatan Pendaftaran Negara telah secara terang-terangan digunakan untuk tujuan kempen terhadap pengundi mahu pun menyediakan perkhidmatan meraih sokongan pengundi.

Keseluruhan faktor agensi di bawah Kerajaan Pusat itu dilihat berperanan, maka kemudahan termasuk peralatan dan kewangan telah disalurkan untuk kepentingan kempen BN di Galas.

Prestasi 2010 dibanding 2008

Punca PAS kalah di Galas secara mudah boleh difahami daripada prestasi undi yang raih antara dua pilihan raya, iaitu daripada pilihan raya umum 2008 kepada pilihan raya kecil 2010. Jadual 1 berikut menunjukkan PAS berkurang undi hanya 265 undi sahaja. Ini mungkin faktor undi terapung yang beralih kepada  BN.  Puncanya ialah kerana kekuatan jentera kempen PAS yang tidak dapat menguasai undi terapung yang pernah dicapai 2008. Maka nilai 265 undi itu jika dinisbahkan dengan undi PAS 2008 ialah 6 peratus. Impaknya PAS kekurangan undi popular 10.25 peratus.

Jadual 1: Keputusan bandingan pilihan raya
2008-2010
Pilihan raya
PAS
BN
Beza
%PAS
2008
4,399
3,753
646
53.96
2010
4,134
5,324
-1,190
43.71
Perubahan
-265
1,571

-10.25








Apa pun disebabkan upaya BN menarik 1,571 undi atau 41.85 peratus dibandingkan dengan undi BN 2008, maka undi terapung, malah undi peribadi yang pernah dicapai Arwah Chek Hashim telah beralih kepada BN.

Demikian pula, analisis khas seperti Jadual 2 mendapati populariti PAS kalangan pengundi Orang Asli didapati hanya merosot pada kadar 17 peratus atau 66 undi dinisbahkan dengan undi PAS 2008 sebanyak 387 undi. Berbeza dengan BN yang mencapai lonjakan 75 peratus atau 567 undi dinisbahkan dengan undi BN 2008.

Jadual 2: Bandingan trend undi Orang Asli pilihan raya 2008-2010
Pilihan raya
PAS
BN
Beza
%PAS
2008
387
755
-368
33.89
2010
321
1,322
-1,001
19.54
        Perubahan
-66
567

-14.35

Realiti tersebut membuktikan penggunaan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia dikira berkesan membawa kepada lonjakan undi maksimum pengundi Orang Asli keluar mengundi BN. Apakah isu ini wajar diamalkan dalam sistem demokrasi di Malaysia?

Sehubungan itu, pilihan raya kecil Galas kali ini menyaksikan suatu kerakusan kuasa state ke atas aparatusnya demi survival dominasi BN dalam mengukuhkan hegemoni! Jelas punca kekalahan PAS kali ini banyak disumbangkan oleh penggunaan maksimum jentera Kerajaan Pusat selain kelemahan persiapan dalaman PAS sendiri dalam menghadapi pilihan raya kecil.

Wan Nik Wan Yussof,  
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.


Sumber: Harakah

Bolehkah BN menang tanpa tipu, rasuah?

Apabila pasukan bolasepak Kelantan mengalahkan Negeri Sembilan 2-1 dalam pusingan akhir Piala Malaysia beberapa hari sebelum PRK Galas (saya tak tengok), mereka boleh bersorak dan berbangga kerana mereka bermain bersungguh-sungguh, tidak menipu dan mengelat.

Kalau mereka menipu dan merasuah pasukan bolasepak Negeri Sembilan, lalu mereka menang, dan berbangga bahawa pasukan mereka kuat, itu adalah menipu diri sendiri dan bodoh sombong namanya. Pasukan bolasepak Kelantan buktikan bahawa pasukan mereka layak merangkul juara Piala Malaysia.

Dalam keputusan PRK Galas, Mahyudin dengan nada bodoh sombong, termasuk akhbar mendabik dada bahawa 1Malaysia diterima rakyat, kepimpinan Najib diterima dan lain-lain kenyataan yang tidak berfakta sebenarnya. Ia hanya dakwaan kosong. Apa yang berlaku, sogokan, rasuah, pemberian duit dan hadiah serta kongkongan dan tekanan dilaporkan berlaku.

Apabila Tok Guru MB Kelantan beri zakat kepoada orang Asal masuk Islam, Timbalan Pengerusi SPR segera beri kenyataan bahawa ia sogokan. Bila Najib umum, Mahyudin umum, Menteri umum sesuatu projek segera di kawasan pilihanraya, ia bukan sogokan. Beratur panjang di kaunter BN untuk terima wang selepas mengundi bukan sogokan. Agensi kerajaan termasuk JHEOA dan lain-lain sewenang-wenangnya diperalatkan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

Apabila rakyat dapat diperbodoh dan dan ditundukkan dengan kuasa ugutan dan wang, mereka menang, lalu berkokoklah pemimpin BN bahawa rakyat terima mereka, 1Malaysia diterima dan lain-lain.

Saya setuju bahawa PAS perlu muhasabah dan membuat post-mortem terhadap kekalahan dalam pilihanraya, melihat dan mengkaji di mana kelemahan yang perlu diperbaiki. Namun saya, dan mungkin juga yang lain tidak boleh terima kekalahan dengan cara mengelat dan rasuah.

Pilihanraya umum ke 13 sudah diwar-warkan bahawa Pakatan Rakyat insya Allah akan menguasai Putrajaya. Najib juga sudah war-warkan akan mempertahankan Putrajaya dari jatuh ke tangan PR. Demi kuasa yang mesti dipertahan, BN akan mengelat dan merasuah dengan lebih hebat kepada rakyat. Al-harbu khid’ah perang itu penuh tipu daya. Bagaimana pula perancangan dan strategi PR menghadapi dan mengatasi tipu daya BN dalam PRU 13 nanti?

Nik Nasri Malek,
Kemaman, Terengganu.



Sumber: Harakah