Saturday, November 6, 2010

Awasi ancaman Wolves dulu!

Darren Fletcher mengakui pemain Manchester United sudah memikirkan perlawanan menentang Manchester City Rabu depan tetapi memberi amaran kepada mereka supaya tidak melupakan ancaman Wolverhampton Wanderers.

Anak buah Alex Ferguson akan melayan Wolves di Old Trafford hari ini sebelum aksi sengit menentang City yang pasti akan bangkit selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut - dua liga perdana dan satu aksi Liga Europa.

Fletcher mendedahkan aksi bertemu City sudah berada di minda pemain United meskipun mereka mempunyai satu lagi tugas penting menentang Wolves. Bagaimanapun bintang antarabangsa Scotland itu menegaskan penting buat pasukan supaya membawa bekal kemenangan sebelum menentang City.

United akan turun dalam saingan minggu ini di kedudukan ketiga Liga Perdana Inggeris, tercicir lima mata daripada pendahulu Chelsea. Kejayaan ke atas Wolves bakal menyuntik semangat mereka kerana mereka membawa bekal enam kemenangan berturut-turut dalam semua saingan.

“Apa yang jelas kami semua sedar mengenai perlawanan menentang City pada pertengahan minggu dan semua pemain memikirkannya. Tetapi mereka tidak boleh terlalu menumpukan kepada perlawanan itu.

“Perlawanan menentang Wolves juga suatu yang sengit, kerana ia perlu dihadapi terlebih dulu. Dan tiga mata yang diraih pasti bagus sebelum menghadapi perlawanan berikutnya (pertengahan minggu),” katanya.

Pada Rabu lalu, Ferguson menyaksikan anak buahnya sudah selangkah daripada saingan kelompok 15 terakhir Liga Juara-Juara apabila menang bergaya, 3-0 ke atas pasukan Turki, Bursaspor.

Bagaimanapun, kemenangan itu diraih dengan harga mahal kerana Fletcher dan Nani yang berada di puncak prestasi, masing-masing mengalami kecederaan buku lali dan bawah perut. Kedua-dua pemain ini mungkin tidak beraksi menentang Wolves.


Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment