Monday, November 8, 2010

Semua Projek Pembangunan Di Tempat Suci Berjaya - Gabenor Mekah

Gabenor Mekah, Putera Khaled Al-Faisal, berkata semua projek besar yang dilaksanakan tahun ini di tanah suci itu telah mencapai kejayaan besar bagi memberi manfaat kepada rakyat dan golongan ekspatriat.

Katanya antara projek penting adalah pengenalan perkhidmatan tren baru, pembinaan Jambatan Jamarat, projek saliran air hujan dan banjir serta projek perkhidmatan ambulans udara oleh Pihak Berkuasa Bulan Sabit Merah.

Akhbar 'The Saudi Gazette' hari ini memetik beliau sebagai berkata demikian selepas melakukan tinjauan terhadap semua projek tersebut.

Putera Khalid berkata banyak projek telah dilaksanakan di Mekah bagi menangani masalah hujan dan banjir serta persediaan telah dibuat bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

Menurutnya terdapat sistem penyelarasan antara perkhidmatan tren dan pengangkutan ulang-alik bagi memudahkan pergerakan jemaah haji antara tempat-tempat suci pada musim haji tahun ini.

Walaupun perkhidmatan tren baru itu beroperasi pada kapasiti 30 peratus sahaja namum ia memberi kesan besar kepada sistem pengangkutan bagi jemaah haji, katanya, yang juga pengerusi Suruhanjaya Tinggi Bagi Pemantauan Pengangkutan Jemaah Haji.

Semasa tinjauan itu, Putera Khaled menaiki tren di Stesen No.1 di Arafat sehingga ke Stesen Jamarat di Mina.

Sejumlah 780,000 jemaah dijangka menggunakan sistem tren tersebut.

Kira-kira 44,000 jemaah haji akan menaiki bas setiap jam dan masa perjalanan antara Arafat dan Muzdalifa akan dipendekkan dari lima jam kepada 20 minit sahaja, katanya.

Dalam pada itu, jemaah haji akan menikmati akses internet tanpa wayar secara percuma di kawasan tempat suci apabila syarikat Mobily menyediakan perkhidmatan WiFi percuma kepada semua pelanggan telekom.


Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment