Monday, November 8, 2010

Dengar letupan 5 minit lepas terjun treler

Tanpa berlengah saya terjun dari tempat duduk sebaik menyedari asap berkepul-kepul keluar dari bahagian treler yang berlanggar.

“Saya dipapah anak ke tepi jalan kerana tidak berdaya lagi untuk bergerak. Tidak sampai lima minit, saya terdengar letupan sebelum treler dan kereta itu terbakar,” kata pemandu treler, Rosli Che Hassan, 50, ketika ditemui di Hospital Muadzam Shah (HMS) di sini, semalam. Menceritakan detik sebelum kemalangan ngeri menyebabkan empat sekeluarga rentung itu, Rosli berkata, dia dan anaknya, Rozlan, 18, dalam perjalanan ke Rantau Panjang, Kelantan menghantar bekalan kelapa yang diambil dari Batu Pahat, Johor. Menurutnya, dia bertolak dari Batu Pahat kira-kira jam 5 petang kelmarin dan sempat berhenti rehat dan makan di persimpangan Bahau, dekat Keratong, sebelum kemalangan.

Katanya, beberapa saat sebelum kejadian dia melihat kereta dinaiki mangsa di laluan bertentangan cuba memotong sebuah lori. “Kereta itu dapat memotong dan memasuki laluannya semula. Namun, tiba-tiba ia terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian depan treler saya. “Selepas itu, kereta terbabit terperosok ke bahagian tengah treler dan saya terpaksa memberhentikan kenderaan yang dipandu,” katanya.

“Saya sedih kerana tidak dapat membantu mereka, apatah lagi saya juga cedera. Inilah pengalaman pertama saya terbabit dalam kemalangan maut selama 25 tahun menjadi pemandu,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.

Rosli berkata, walaupun kejadian itu menjadi pengalaman paling tidak dapat dilupakan, dia tidak berhasrat untuk berhenti sebagai pemandu memandangkan ia satu-satunya pekerjaan yang mampu menyara kehidupannya.


Sumebr: Metro

No comments:

Post a Comment