Monday, November 8, 2010

Hayati kata-kata Salih Yaacob

Ribut tidak, angin tidak, tiba-tiba rumah tangga pelakon dan penyanyi Erra Fazira digosipkan bergoncang. Saya melihat Erra sudah menemui kebahagiaan yang diimpikan setiap wanita apabila berkahwin dan dikurniakan anak comel, Engku Aleesya. Waktu sama, dirinya tetap mendapat tawaran berlakon dan juga mengacara siap ada program sendiri.

Waktu sama, saya sendiri menerima gambar-gambar Erra ketika menerima kejutan sempena ulang tahun perkahwinan keduanya pada pada 25 Oktober lalu oleh peserta Mari Menari yang berada di bawah jagaan Erra, Zul, Yat dan Masri. Erra kelihatan begitu terharu dengan kejutan yang turut dihadiri suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Bagi saya, rumah tangga mana yang tidak bergelora, pasangan mana yang tidak berhadapan masalah. Apa yang penting keinginan untuk memperbaiki kelemahan dan cuba menjadi isteri dan suami terbaik untuk pasangan. Semoga Erra dan Emran terus bahagia ke akhir hayat.

Sekarang berita keruntuhan rumah tangga artis bagaikan bermusim dan cukup menakutkan. Sudahlah sana-sini membimbangkan dengan berita gempa, banjir dan letusan gunung berapi, cerita pergolakan artis juga sama hebatnya.

Pelakon dan model Aleeza Kassim sah bercerai dengan Mohd Fauzi Che Ros pada 27 Oktober lalu. Pasangan itu sah bercerai secara baik di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur dalam prosiding yang dibuat secara tertutup.

Penyanyi Siti Norsaida Tarudin yang juga kakak penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza, menfailkan permohonan untuk bercerai secara baik daripada suaminya, Mohd Ghazali Yahya Zikri, di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 6 Oktober lalu. Mahkamah memutuskan 20 Disember ini mendengar kes mereka.

Begitu juga komposer Adnan Abu Hassan dalam proses perceraian manakala rumah tangga pelakon Rita Rudaini Mokhtar dikatakan terus bergolak. Waktu sama, tunggu juga berita gembira mengenai Raja Azura atau Kak Engku kalau-kalau rujuk semula dengan bekas suami. Namun sehingga kini, belum dengar lagi, tidak tahulah kalau perkara baik ini tidak diketahui umum.

Rabu lalu, saya berbual dengan penyanyi, pelawak, pelakon, pengacara dan penyampai Sinar FM, Salih Yaccob, 49, untuk berkongsi rahsia kejayaannya kekal dalam industri selama 30 tahun. Salih meraikan pencapaiannya dalam majlis Santai Bersama Salih Yaccob 30 Tahun Dalam Industri Hiburan pada 30 Oktober lalu.

Apa yang menarik, Salih bukan saja tabah mengharungi cabaran dunia seni hingga bertahan selama 30 tahun, malah berjaya melayari hidup berumahtangga bersama tiga isteri dan 11 anak! Bukan calang-calang orang yang mampu melakukannya. Sudah tentu topik mengenai artis bercerai turut dibualkan.

Salih sempat bersyarah dengan saya mengenai ilmu agama untuk dijadikan pegangan hidup kita seharian. Katanya, sebelum menceburi dunia seni, dirinya juga dibekalkan didikan agama. Apabila menceburi dunia seni, dia juga mengenali kumpulan dakwah dan ini memberi ruang kepadanya belajar dan mengkaji ilmu yang ada pada dirinya.

Katanya, kita perlu hayati betul-betul makna dalam al-Quran kerana ia lengkap untuk menjadi pedoman hidup. Salih juga cuba renungkan kehidupannya yang mencari rezeki dalam seni. Sebagai manusia biasa, dia sedar urusannya dengan Allah swt dan ia perlu menjadi keutamaan dalam hidup.

"Orang sekarang, kalau ada masalah pergi kaunseling dan minta nasihat orang itu dan orang ini. Ia tidak akan berjaya tetapi kalau kita minta tolong daripada Allah swt, Dia akan membantu kita.

"Itu yang saya praktikkan ketika sakit dulu. Ketika itu saya hilang suara dan terlantar sakit berbulan-bulan lamanya tanpa diketahui penyakitnya. Tapi saya yakin dengan Allah swt dan berserah kepada-Nya. Saya membaca al-Quran dan memahami maknanya dan akhirnya saya sembuh.

"Sememangnya bukan kecil cabaran ditempuh orang seni tapi jika beramal dengan ajaran-Nya, ia menjadi kekuatan kepada kita dan mampu menjauhi segala bala dan perpecahan rumah tangga. Saya sendiri pernah gagal mempertahankan perkahwinan pertama kerana pergolakan iman dan kekufuran.

"Tahun 2000 saya anggap sebagai perubahan jiwa dan bermula kehidupan baru. Segala hasil yang dulu saya tinggalkan dan saya bangkit dengan rezeki diberikan. Saya tidak banyak berharap dan apa yang diberikan itu adalah rezeki yang berhak diberikan kepada isteri dan anak.

"Saya juga yakinkan dan tekankan kepada mereka supaya yakin dengan Allah. Didikan rohani dan batin ini mampu menjadi benteng dalam menempuh cabaran hidup. Kita perlu mencari iktibar dan bukan mencari kesilapan," katanya.

Pastinya bukan mudah untuk kita mendapat keredaan hidup kerana ia memerlukan kesabaran, ketabahan dan paling penting, keimanan.


Sumber: Metro

No comments:

Post a Comment